Mesut Ozil mengakui masa depannya di Arsenal masih tidak menentu biarpun semakin mendapat tempat dalam pasukan itu.

Pemain berusia 31 tahun itu memulakan hampir kesemua perlawanan Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Mikel Arteta mengambil alih pasukan itu hujung Disember lalu -- Ozil sebelumnya kerap dipinggirkan oleh bekas pengurus, Unai Emery.

Dengan kontrak yang hanya berbaki setahun, Ozil dikaitkan untuk menyertai DC United dalam Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) dan pasukan Turki, Fenerbahce.

Pemain tengah itu mengakui masa depannya bersama skuad The Gunners itu masih tiada jaminan, namun tetap bersedia untuk memberikan segala-galanya buat Arsenal sehingga penghujung musim ini.

"Selepas musim ini, saya masih ada setahun dan selepas itu, saya tidak tahu apa yang akan berlaku kerana saya tidak dapat melihat masa depan," katanya kepada wartawan sewaktu sesi latihan Arsenal di Dubai.

"Apa yang saya boleh lakukan ialah memberikan segala-galanya buat pasukan, untuk diri saya, untuk berjaya dan ayuh lihat apa yang akan berlaku nanti."

Arsenal kini menduduki tangga ke-10 EPL dan dibezakan 10 mata dengan kelompok empat teratas -- hanya menang satu daripada lapan perlawanan liga sejak Arteta dilantik 20 Disember lalu.

Bagaimanapun, Ozil menegaskan bahawa terdapat peningkatan yang dibawa bekas penolong pengurus Manchester City itu dan percaya pasukannya masih boleh melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

"Kami sedar ia musim yang sukar tetapi kami mahu memenangi perlawanan dan mengumpulkan mata supaya mungkin dapat menamatkan musim ini di kedudukan empat teratas.

"Sasaran kami adalah untuk ke Liga Juara-Juara.

"Tahun ini, kami berdepan kesukaran tetapi saya fikir kami berada di laluan yang baik.

"Hanya dua bulan sejak Mikel berada di sini dan kami sudah banyak meningkat," tambahnya.

Arsenal akan menantikan kunjungan Newcastle United bagi perlawanan liga hujung minggu ini.



Editor: Muzaffar Musa