Pengurus Belgium, Roberto Martinez, menganggap penyerang Manchester United, Romelu Lukaku, telah dikritik secara tidak adil.

Pemain berusia 25 tahun itu hanya menjaringkan enam gol dalam semua kejohanan bagi musim 2018-19 di samping bukan dalam kesebelasan utama ketika Jose Mourinho mengendalikan pasukan.

Ole Gunnar Solskjaer memimpin United sebagai jurulatih sementara ketika merakamkan kemenangan 5-1 ke atas Cardiff City kelmarin tetapi Lukaku tidak terlibat dalam perlawanan tersebut setelah terlepas sesi latihan sebelum bertandang ke Wales.

Di sebalik bergelut dengan prestasinya dalam saingan kelab, Lukaku merupakan tunjang kepada Belgium selepas menjaringkan 14 gol sepanjang 2018.

Bekas pengendali Everton, Martinez, berasakan kritikan yang diberikan kepada penyerang itu adalah sesuatu yang tidak adil baginya.

"Lukaku dinilai secara negatif bersama Manchester United," katanya.

"Semua orang menjangkakan Lukaku untuk menjaringkan gol setiap kali beraksi dan apabila dia gagal melakukannya, United gagal mencipta kemenangan.

"Tetapi saya tahu bahawa Lukaku sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran.

"Untuk Belgium, dia telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang pemain nombor sembilan terbaik dunia," ujarnya.