Penyerang muda, Gabriel Martinelli, telah menandatangani kontrak jangka panjang dengan Arsenal.

Pemain berusia 19 tahun itu menyertai kelab London itu daripada Ituano pada Julai tahun lalu, meledakkan 10 gol hasil 26 penampilan dalam musim sulung di England.

Arsenal telah memberikan pemain skuad B-23 Brazil itu kontrak baru, dua hari selepas rakan sepasukannya, Bukaya Sako, mengesahkan komitmen bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Martinelli tidak akan beraksi lagi untuk baki saingan musim ini selepas menjalani pemebdahan lutut tetapi pengendali Arsenal, Mikel Arteta, percaya dia memiliki masa depan cerah.

"Saya sangat gembira apabila Martinelli menandatangani kontrak baru bersama kami.

"Dia seorang pemain muda berbakat dan membuatkan kami gembira dengan prestasi, disiplin serta usahanya.

"Kami tidak sabar untuk mengembalikan kecergasannya ke tahap terbaik sambil melihat perkembangannya bersama kelab."

Martinelli juga menulis dalam laman Instagram peribadi: "Saya sangat gembira untuk terus bersama Arsenal. Ini adalah kelab hebat. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada kelab dan peminat atas tahun yang hebat.

"Ia tahun pertama untuk jangka panjang dan saya tidak sabar untuk kembali beraksi!

"Beraksi dengan nama di belakang jersi ini dan mereka akan mengingati nama itu.' @tonyadamsofficial."