MANCHESTER UNITED 3 SHEFFIELD UNITED 0

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berkata The Red Devils dalam laluan untuk menguasai tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi pemburuan tiket Liga Juara-Juara (UCL) selepas mengalahkan Sheffield United 3-0.


Anthony Martial merakamkan hatrik senior pertamanya bagi mencerahkan misi United itu ketika menentang The Blades di Old Trafford, awal pagi tadi.

Dua gol dalam babak pertama memastikan tempo permainan sebelum Martial muncul pemain pertama juara 20 kali itu untuk menjaringkan hatrik EPL sejak Robin van Persie melakukannya pada 2013.

Kemenangan itu menyaksikan United mengekalkan rentak tanpa kalah dalam 13 perlawanan untuk skuad kendalian Solskjaer berkenaan menghuni kedudukan kelima -- dua mata di belakang Chelsea dan enam terpisah dengan pasukan di tangga ketiga, Leicester City.

Ditanya mengenai mata di antara pasukannya dan Leicester, Solskjaer mengatakan kepada wartawan: "Saya tidak pernah mengatakan yang tempat keempat adalah matlamat kami! Kami mahu menduduki tempat ketiga atau keempat tetapi kami harus fokus dalam setiap perlawanan akan datang."

United dalam pusingan 16 Liga Europa dengan bekalan 5-0 ke atas LASK hasil pertemuan pertama sebelum kempen musim ini tergendala akibat COVID-19 sementara mereka akan beraksi dalam suku akhir Piala FA bertemu Norwich City.

"Kami juga bersaing dalam dua piala (Liga Europa dan Piala FA), jadi (fokus kami adalah) satu perlawanan dalam satu-satu masa dan mudah-mudahan, kami dapat meraih mata yang diperlukan dan mungkin hanya ada dua pasukan di depan kami (sebaik EPL berakhir)," sambungnya.




Semua tumpuan terarah kepada Bruno Fernandes dan Paul Pogba apabila duo bintang itu bergandingan di bahagian tengah United buat julung kalinya.

Namun, Nemanja Matic -- yang pada awalnya digembar-gembur bakal meninggalkan United pada awal musim ini berikutan bergelut untuk menembusi kesebelasan utama -- menghasilkan satu lagi prestasi yang mengagumkan sehingga mendapat pujian pengurus kelahiran Norway itu.

"Nemanja mempamerkan beberapa aksi terbaiknya, itu yang harus saya katakan," katanya lagi selepas perlawanan.

"Dia mengharungi pra-musim yang baik buat pertama kalinya sejak bertahun lamanya. Hari ini juga, dia menjadi nadi kepada perlawanan ini. Pengalamannya sangat penting buat kami.

"Saya sangat gembira bahawa kami dapat melihat sentuhan terbaik daripada Nemanja. Dia akan menjadi nadi bagi kami. Dia perlu beraksi cemerlang sekiranya mahu kekal tetapi pada masa ini, dia beraksi hebat."

United akan kembali menyambung perjuangan dalam Piala FA dengan menentang Norwich, hujung minggu ini.