Diego Maradona berkata dia adalah pilihan terbaik untuk mengembalikan zaman kegemilangan Manchester United.

United bergelut untuk menyamai era Alex Ferguson sejak persaraannya pada 2013.

Ole Gunnar Solskjaer menikmati permulaan perkhidmatannya selaku pengurus sementara selepas United memecat Jose Mourinho, Disember lalu.

Bagaimanapun, selepas meraih dua kemenangan dalam 12 aksi terakhir musim 2018-19, persoalan kembali bangkit sama ada United telah melakukan keputusan tepat dalam melantik Solskjaer secara tetap.

Legenda Argentina, Maradona, tidak pernah meraih kejayaan selaku jurulatih dan kini bertugas bersama kelab Mexico, Dorados, tetapi pengendali berusia 58 tahun itu percaya dia mampu mengembalikan tahap terbaik United.

"Jika United memerlukan jurulatih, saya adalah orangnya," katanya.

"Saya tahu mereka menjual banyak jersi serata dunia tetapi mereka perlu memenangi gelaran. Saya boleh melakukannya untuk mereka.

"Manchester United pernah menjadi kelab Inggeris kegemaran saya. Mereka memiliki pemain-pemain berkualiti di bawah kendalian Alex Ferguson.

"Kini boleh saya katakan Man City adalah kelab Inggeris pilihan saya. Mereka adalah kuasa besar dalam saingan di England.

Maradona turut memberikan pandangan terhadap Paul Pogba, yang dikhabarkan bakal meninggalkan United untuk menyertai Real Madrid sementara bekas kelabnya, Juventus, turut berminat mendapatkan tandatangannya.

"Saya menggemari Ander Herrera. Paul Pogba? Dia berusaha bersungguh-sungguh."