Penyerang Liverpool, Sadio Mane, memuji impak yang diberikan oleh Virgil van Dijk kepada kelab dan menyifatkan pemain kebangsaan Belanda itu sebagai salah seorang pertahan terbaik dunia.

Van Dijk, yang ditandatangani Liverpool dari Southampton dengan biaya GBP75 juta (RM397 juta) pada Januari lalu, meletakkan dirinya di bawah tekanan untuk mempamerkan persembahan terbaik.

Pemain berusia 27 tahun itu menyerlah di bawah bimbingan Jurgen Klopp selepas mendahului Liga Perdana Inggeris musim ini dengan berkelebihan empat mata.

Mane, yang telah mencetak tujuh gol dan satu bantuan jaringan musim ini, berkata nilai perpindahan Van Dijk telah dilupakan menerusi persembahan yang ditampilkannya.

"Van Dijk telah memberikan impak yang besar kepada kelab. Terdapat pihak yang mengatakan bahawa kelab telah berbelanja banyak untuk membawanya masuk," kata Mane.

"Tetapi, tanda harganya telah mula dilupakan selepas dia mempamerkan persembahan berkualiti.

"Dia telah bermain dengan cemerlang untuk pasukan. Saya sangat gembira dengan kualiti yang diberikan oleh Van Dijk.

"Dia memiliki kualiti seorang pemimpin, anda dapat melihatnya dalam setiap perlawanan. Dia membuktikan dirinya sebagai salah seorang pertahanan terbaik dunia," katanya lagi.

Van Dijk menjaringkan gol pertamanya untuk Liverpool dalam saingan EPL ketika mengatasi Wolves 2-0.