Mane tandatangan kontrak jangka panjang bersama Liverpool

Oleh Staff Writer 23 November 2018 217
Mane tandatangan kontrak jangka panjang bersama Liverpool
Sadio Mane bersetuju dengan lanjutan kontrak jangka panjang bersama Liverpool seperti diumumkan oleh kelab Liga Perdana Inggeris itu semalam.

Kontrak sebelum ini akan menyaksikan Mane bersama Liverpool sehingga 2021 tetapi lanjutan baru dilaporkan telah ditambah selama dua tahun lagi walaupun pihak The Reds tidak mengesahkan tempohnya.

Pemain Senegal itu telah menyumbat enam gol liga musim ini setelah melalui permulaan cemerlang untuk menduduki tangga kedua di belakang juara bertahan, Manchester City.

Dia, yang menjaringkan 20 gol dalam semua kejohanan musim lalu, telah diberi ganjaran dengan perjanjian baru.

"Saya sangat gembira untuk memperbaharui tempoh di Liverpool," katanya.

"Ia hari yang baik dan kini saya terus mara untuk segalanya dalam membantu pasukan mencapai impian, terutama menjulang trofi."

Kontrak baru Mane itu disusuli oleh rakan gandingan di bahagian serangan, Mohamed Salah dan Roberto Firmino, yang menyatakan kesetiaan dengan perjanjian baru tahun ini.

"Saya sering berkata, apabila saya tahu mengenai peluang untuk datang ke sini, saya tidak berfikir dua kali," tambah Mane.

"Kelab yang betul pada waktu yang tepat bersama jurulatih yang hebat. Saya datang ke sini dan sangat gembira.

"Bagi saya, saya telah membuat keputusan terbaik dalam karier," tambahnya.

Mane menyumbat 40 gol dalam 89 perlawanan buat Liverpool dan memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Kelab serta Pemain Terbaik Tahunan Pilihan Pemain bagi musim 2016/17, kempen pertamanya sejak tiba daripada Southampton.

Pemain berusia 26 tahun itu berada dalam senarai 30 calon bagi anugerah Ballon d'Or dan turut dinamakan lima terbaik oleh BBC bagi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Afrika.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen