Bekas pemain sayap Liverpool, Harry Kewell menyifatkan Sadio Mane sebagai pemain terbaik dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini berlandaskan aksi konsistennya.

Meskipun kelibat pemain antarabangsa Senegal itu kadang-kala dibayangi rakan sepasukannya dari Mesir, Mohamad Salah, Kewell tetap berasa Mane lebih menonjol musim ini.

“Mane seorang pemain yang bekerja keras untuk sampai ke tahapnya kini, dan seperti pemain hebat lain seperti Cristiano Ronaldo dan Messi, graf peningkatan Mane cukup menakjubkan.

“Sebelum ini Mohamad Salah menjadi sandaran utama, tetapi dengan peningkatan Mane ia memcetuskan sedikit persaingan dalam pasukan.

“Ia bagus buat pasukan kerana mereka berdua adalah pemain luar biasa dan mereka bergandingan baik bersama Roberto Firmino.

“Dalam beberapa musim bersama Liverpool, ini adalah musim terbaik buatnya,” kata Kewell dalam siaran terkini Adam Talks yang ke udara di saluran Astro Supersport pada 21 Jun ini, 6.30 petang.

Musim ini menyaksikan Mane terus mejadi sandaran utama Jurgen Klopp dalam formasi 4-3-3 yang menjadi amalannya.

Dalam pada itu Kewell menyifatkan Tottenham Hotspur sebagai pasukan yang paling mengecewakan dalam saingan EPL musim ini.

“Tottenham menggantikan seorang pengurus bertaraf dunia [Mauricio Pochettino] dan menggantikannya dengan seorang lagi pengurus hebat [Jose Mourinho] tetapi mereka berdua mempunyai cara berbeza.

“Tottenham mempunyai ramai pemain berkualiti walaupun tidak membeli ramai pemain, tetapi penjualan Christian Eriksen adalah satu kerugian buat pasukan.

“ Mereka tampak sukar menyinar tanpa Harry Kane dan jika Son Heung-min gagal menemui sasaran.

“Daripada sebuah pasukan yang menyaingi Liverpool di final Liga Juara-Juara Eropah, mereka kini berada di kedudukan sukar melayakkan diri musim depan.

“Jadi tiada kesinabungan dalam potensi yang dipamerkan kelab London utara itu dan ia mengecewakan baginsaya,” kata Kewell.