Penyerang Liverpool, Sadio Mane, menegaskan dia tidak memiliki masalah dengan Jurgen Klopp setelah berbalah dengan pengurus itu selepas 1-1 dengan Chelsea.

Mane hadir ke dalam permainan pada penghujung aksi di Anfield dan dilihat bertikam lidah dengan Klopp selepas wisel penamat ditiupkan.Bagaimanapun, pemain kebangsaan Senegal itu menenangkan keadaan, dengan menyatakan ia hanyalah perbualan "mesra".

"Beliau memberitahu saya untuk beraksi di sebelah kanan dan saya cuba meminta bola daripada pemain yang beraksi di posisi nombor sembilan," kata Mane.

"Mohamed Salah berada dalam posisi saya dan Klopp menjerit, 'Sadio, pergi ke sebelah kanan'.

"Selepas perlawanan, saya memberitahu beliau ia adalah lebih mudah jika dia memberitahu Salah untuk menukar posisi kerana dia lebih dekat dengan beliau.

"Tetapi ia hanyalah perbualan mesra, ia bukan kerana saya tidak gembira atau mengenai perkara lain. Saya dan Klopp tidak bermasalah, saya hanya berkomunikasi dan menerangkan kepadanya selepas perlawanan," katanya.

Mane terkejut apabila diketepikan daripada kesebelasan utama aksi penting selepas pasukannya kini menghuni tangga keenam.

Pemain berusia 25 tahun itu, yang telah meledak tiga gol dan melakukan dua bantuan jaringan musim ini, sukar untuk menerima hakikat memulakan aksi di bangku simpanan.

"Bukan mudah untuk saya. Ia adalah saat yang sukar tetapi ia adalah sebahagian daripada bola sepak," ujarnya.