Bintang Liverpool, Sadio Mane, berhak dinamakan selaku pemenang Ballon d'Or tahun ini, kata bekas bintang Barcelona dan Manchester City, Yaya Toure.

Awal bulan ini, Lionel Messi mencatat rekod memenangi anugerah itu buat kali keenam selepas mengetepikan rakan sepasukan Mane, Virgil van Dijk.

Bagaimanapun, Toure percaya Mane -- yang menghasilkan 26 gol dalam semua kejohanan musim lalu sambil Liverpool muncul naib juara Liga Perdana Inggeris dan unggul menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah -- patut meraih anugerah itu.

"Sejujurnya, dia berhak meraih Ballon d'Or. Di Afrika, kami tidak lihat mana-mana pemain yang lebih bagus berbandingnya," katanya.

"Adakah anda melihat undian? Di manakah kedudukannya setahun yang lalu? Berapa jumlah gol dihasilkan dan apakah pencapaiannya bersama Liverpoo?

"Bagi saya, ia memalukan apabila sesebuah pasukan muncul pemenang Liga Juara-Juara dan pemenang Ballon d'Or bukan daripada mereka."

Liverpool kini memiliki kelebihan 10 mata di puncak liga mengatasi Leicester City dan 14 mata meninggalkan pasukan di tangga ketiga, Manchester City, dan Toure melihat The Reds -- yang masih belum tewas dalam saingan musim ini -- sebagai calon terbaik muncul juara.

"Liverpool sangat hebat. Mereka beraksi dengan baik dan berhak berada di kedudukan sekarang," tambahnya.

"Perjalanan masih jauh tetapi Liverpool pasukan yang bagus dan mereka tampak lebih kuat berbanding tahun lalu. Saya lihat prestasi City musim ini agak merumitkan tetapi dengan kelebihan 10 mata, Liverpool berpeluang cerah.

"Apabila anda menyaksikan saingan liga hari ini, terdapat beberapa pasukan yang mengecewakan seperti Arsenal dan lain-lain tetapi Liverpool berpeluang untuk mencatat kejuaraan musim ini."