Manchester United "terus komited" menagih sentuhan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus, kata Naib Ketua Eksekutif, Ed Woodward.

Masa depan Solskjaer kembali dipersoalkan berikutan kekalahan berturut-turut kepada Arsenal dan Istanbul Basaksehir baru-baru ini.

Namun, kemenangan 3-1 ke atas Everton pada hujung minggu lalu -- keputusan yang mengangkat United ke tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris (EPL) -- meredakan sedikit tekanan terhadap pengurus dari Norway itu.

Di sebalik mengakui ada ruang untuk diperbaiki, Woodward secara terbuka mempertahankan Solskjaer untuk mengembalikan kegemilangan The Red Devils.

"Di atas padang masih memerlukan kerja keras untuk mencapai tahap ketekalan, kami akan terus komited ke arah jalan positif yang kami tempuhi di bawah kendalian Ole yang terus menampakkan kemajuan," katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan Woodward itu dibuat beserta dengan lampiran terbaru kedudukan kewangan kelab berkenaan untuk suku pertama musim ini berikutan kesilapan laporan asal semalam.





Pendapatan United merosot sebanyak 20 peratus untuk tiga bulan yang berakhir pada 30 September -- daripada £135.4 juta (RM733.9j) kepada £109j (RM590.8j) berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Sebahagian besar daripadanya berkaitan dengan pendapatan hari perlawanan yang menurun kepada £1.7j (RM9.21j), tetapi Woodward berharap penyokong akan segera dibenarkan kembali ke Old Trafford.

"Kami rindu untuk beraksi di hadapan peminat dan kami bekerja keras dengan badan pemerintah dan pihak berkuasa yang berkaitan dalam usaha memastikan peminat boleh kembali dengan secepat mungkin," katanya.

"Walaupun COVID-19 terus mencetuskan masalah besar, kami optimis fasa pemulihan dan normalisasi secara bertahap mula kelihatan.

"Kedudukan utuh kelab ini selain perniagaan komersial kami yang mantap terus memberikan asas yang kukuh dan memberi kami keyakinan terhadap pandangan jangka panjang kami di luar pandemik ini, baik di mahupun di luar padang."