Harry Maguire akan mengemukakan rayuan setelah didapati bersalah melakukan serangan serius, mengelak daripada ditahan dan percubaan berkali-kali untuk melakukan rasuah dalam satu perbicaraan di Greece.

Kapten Manchester United itu menghadapi perbicaraan bersama dua lagi tertuduh di Kepulauan Syros semalam selepas terlibat dalam satu pergelutan melibatkan pegawai polis ketika bercuti di Mynokos.

Maguire, yang terpaksa menginap selama dua malam di dalam tahanan, menafikan dakwaan itu tetapi tiga panel mahkamah berkenaan mendapati dia bersalah di atas kesemua tuduhan yang dikenakan.

United mengeluarkan satu kenyataan bagi mengesahkan bahawa pihak perundangan Maguire akan mengemukakan rayuan setelah permohonan untuk menangguhkan perbicaraan itu ditolak mahkamah.

"Manchester United menyedari keputusan yang diputuskan mahkamah di Greece," kata kenyataan itu.

"Harry Maguire mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan ke atasnya dan pendiriannya tidak berganjak.

"Harus diambil kira bahawa pihak pendakwaan mengesahkan pertuduhan itu dan mengemukakan bukti mereka pada hari sebelum perbicaraan yang hanya memberikan pasukan pembelaan waktu yang minimum untuk menerima dan bersedia.

"Permohonan untuk penangguhan kes itu kemudian ditolak.

"Atas dasar ini, bersama sejumlah bukti yang menafikan tuduhan berkenaan, pasukan perundangan Harry Maguire akan mencabar keputusan itu untuk memungkinkan satu perbicaraan penuh diadakan pada tarikh akan datang," katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu pada awalnya disenaraikan dalam skuad England untuk berdepan Iceland dalam perlawanan Liga Negara-Negara Eropah bulan depan tetapi keadaan terbaru itu sudah pasti membuatkan pengurus skuad Three Lions berkenaan, Gareth Southgate, mengubah pendiriannya.

"Pada ketika ini, anda hanya boleh membuat keputusan berdasarkan fakta yang anda tahu," kata Southgate sebelum keputusan perbicaraan itu diumumkan.

"Saya mempunyai hubungan yang baik dengan pemain itu. Harry sentiasa mempunyai perwatakan yang cemerlang bersama kami.

"Saya tiada alasan untuk tidak mempercayai apa yang dikatakannya.

"Adalah penting untuk dia mengetahui bahawa dia memiliki sokongan saya buat masa ini," katanya.