Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menganggap adalah tidak adil Chelsea mendapat rehat 48 jam lebih banyak menjelang pertembungan separuh akhir Piala FA mereka, Ahad ini.

United akan bertemu seteru Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Wembley dalam misi mengintai tiket ke perlawanan akhir, tetapi terlebih dahulu perlu menghadapi rintangan Crystal Palace bagi aksi liga awal pagi esok.

The Blues akan turun dalam pertembungan Piala FA berkenaan memandangkan tidak akan beraksi di pertengahan minggu ini, lantaran itu Solskjaer mempersoalkan jadual yang disusun kerana United juga berusaha untuk layak ke Liga Juara-Juara (UCL).

"Tentunya ada kegusaran bahawa mereka mendapat rehat yang lebih dan proses pemulihan selama 48 jam lebih lama daripada kami," katanya dalam sidang akhbar sempena bertemu Palace.

"Ia tidak adil. Kami bercakap mengenai jadual yang adil ketika mahu menyambung kempen musim ini dan tentu saja tidak.

"Tetapi saya harus memikirkan soal kemenangan hari ini (melawan Crystal Palace) dengan memusatkan perhatian kepada perlawanan ini, kemudian barulah saya akan memikirkan perlawanan lain."




The Red Devils akan menentang Palace selepas merekodkan rentetan 18 perlawanan tanpa kalah di selepas diikat 2-2 oleh Southampton di tempat sendiri, Isnin lalu.

Mereka melepaskan peluang berharga untuk memintas Chelsea dan Leicester City dengan menghuni tangga ketiga dan terpaksa kekal di tempat kelima dengan baki tiga perlawanan lagi.

Dengan perancangan musim ini dan masa depan sudah diatur, Solskjaer yakin pasukannya mampu mengatasi tuntutan fizikal.

"Kami tidak pernah beraksi setiap tiga hari tetapi kami perlu mengharungi sekarang," katanya lagi.

"Dua minggu akan datang akan menjadi sibuk tetapi sekali lagi kami dalam keadaan yang cergas, sangat cergas -- sudah lama pemain-pemain saya tidak berasa keadaan seperti ini, saya yakin.

"Ia adalah faktor penting menjelang akhir musim lalu apabila kami berasakan pasukan ini tidak cukup cergas, kami dilanda beberapa kecederaan, musim ini kami tidak menghadapi masalah seperti itu.

"Situasi ini tidak akan menjadi satu masalah dan kebimbangan buat kami tetapi 24 jam, 48 jam adalah satu perbezaan besar ketika ini, jadi tuah belum menyebelahi untuk mengatakannya sepanjang dua minggu terakhir ini."

United akan melakukan rombakan ketika berhitung dengan Palace ekoran kecederaan pergelangan kaki yang menimpa Luke Shaw sementara Paul Pogba -- yang beraksi di samping Bruno Fernandes -- bakal direhatkan.

"Hampir setiap hari saya bercakap dengan Paul, dia tahu bahawa dia tidak akan digugurkan," katanya.

"Ketika Paul mempamerkan persembahan seperti ini, dia tidak akan digugurkan dalam mana-mana pasukan di dunia sekalipun -- baik Perancis mahupun Man United -- tetapi dia pernah tersisih lama jadi wujud persoalan sebelum perlawanan menentang Southampton, 'bagaimana awak rasa? ' tetapi dia berasakan sudah bersedia untuk itu, ia berita yang sangat bagus, jadi sekarang ayuh kita lihat bagaimana kesudahannya.

"Dia beraksi hebat sejak kempen musim ini bersambung dan banyak membantu pasukan. Terdapat satu atau dua tanda tanya sebelum perlawanan dengan Southampton mengenai siapakah yang akan diturunkan tetapi kami telah memuktamadkan keputusannya."