Manchester United menafikan dakwaan bahawa ada staf kelab itu yang membantu penyokong menyelinap ke dalam Old Trafford sewaktu protes hujung minggu lalu dan mereka kini sedang bekerjasama dengan pihak polis "untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dalam aktiviti jenayah itu".

Perlawanan United menentang Liverpool hujung minggu lalu terpaksa ditunda berikutan demonstrasi di perkarangan hotel pemain dan seterusnya di dalam padang.

Penyokong pada ketika ini tidak dibenarkan untuk memasuki Old Trafford berikutan larangan disebabkan pandemik koronavirus tetapi terdapat sebilangan penyokong yang mempunyai akses untuk masuk ke dalam stadium dan padang pasukan itu.

Protes berkenaan ditujukan buat pemilik United, Keluarga Glazer, yang telah lama mempunyai konflik dengan penyokong pasukan itu dan ia semakin meningkat sepanjang dua minggu ini.

Glazers dikatakan sebagai sebahagian utama yang memainkan peranan dalam mewujudkan Liga Super Eropah (ESL) bulan lalu.

United berkata semalam bahawa mereka mengalu-alukan "protes secara aman" tetapi mendakwa pencerobohan Old Trafford itu sebagai "kesan daripada aktiviti jenayah" yang akan diberikan hukuman.

"Susulan apa yang berlaku semalam, pada ketika ramai penyokong mahu memperlihatkan hak mereka untuk melakukan protes dan meluahkan pandangan mereka secara aman, ada antara mereka yang mengganggu persiapan pasukan dan perlawanan itu, yang dibuktikan dengan aktiviti di Hotel Lowry dan di stadium," kata kenyataan yang dikeluarkan kelab itu.

"Laporan media utama dan media sosial berkenaan mereka yang melakukan protes masuk ke stadium melalui pagar yang dibuka staf kelab ini adalah tidak benar sama sekali.

"Selepas memecah masuk penghadang dan kawalan di halaman depan, sebahagian pelampau itu bertindak memanjat pagar pada penghujung terowong Munich dan kemudian memecah masuk melalui pintu di tepi tempat duduk sebelum mereka membuka pintu di bahagian luar dan membenarkan yang lain untuk masuk ke kawasan tepi dan dalam padang.

"Pencerobohan kedua berlaku apabila pelampau memecahkan pintu untuk masuk ke lif golongan kurang upaya yang membolehkan sebahagian lagi masuk ke kawasan tempat duduk.

"Kebanyakan penyokong kami mengutuk kelakuan itu di samping tingkah laku keganasan terhadap staf, polis dan penyokong lain dan ia kini sudah menjadi kes polis.

"Kelab ini tiada niat untuk melihat mereka yang melakukan protes secara aman dihukum tetapi akan bekerjasama dengan pihak polis untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dengan aktiviti jenayah dan akan mengeluarkan hukuman kami sendiri terhadap mana-mana ahli pemegang pas bermusim yang terlibat berdasarkan polisi hukuman yang ditetapkan," katanya.