Manchester United musnah rekod kebal barisan Guardiola

Oleh Shaiful Shamsudin 8 Mac 2021 16265
 Manchester United musnah rekod kebal barisan Guardiola
MANCHESTER CITY 0 MANCHESTER UNITED 2 

Rentak 21 kemenangan Manchester City terkulai di tangan Manchester United yang merakamkan kemenangan 'derby' 2-0 ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, sebentar tadi. 

Bruno Fernandes menyempurnakan sepakan penalti selepas 101 saat tiupan wisel pertama berikutan kekasaran Gabriel Jesus, sementara Luke Shaw menggandakan kedudukan tuan pelawat itu pada minit ke-50.

Kejayaan itu memastikan Ole Gunnar Solskjaer sekali lagi unggul ke atas barisan kendalian Pep Guardiola itu dalam meniti menjadi pengurus United pertama yang memenangi tiga perlawanan di Stadium Etihad.

The Cityzens, bagaimanapun, masih memiliki kelebihan selesa 11 mata di puncak tetapi rekod tanpa kalah dalam 29 perlawanan turut musnah sejak tumbang 0-2 di Tottenham pada 21 November 2020.

 

United tidak menjaringkan gol dalam tiga perlawanan sebelum sepak mula, namun diberi peluang untuk mengakhiri ketandusan jaringan selepas Jesus -- yang kekal dalam barisan utama berikutan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Wolves -- bertindak menjatuhkan Anthony Martial. 

Kesilapan pemain Brazil itu hampir diselamatkan oleh rakan senegara, Ederson, namun penjaga gol itu masih gagal menguis keluar sepakan penalti rendah Fernandes. 

City tidak membiarkan kekecewaan gagal mempertahankan reputasi 20 perlawanan liga tidak dibolosi terlebih dahulu membayangi mereka apabila mula mengatur serangan. 

Percubaan deras Oleksandr Zinchenko terpaksa ditepis Dean Henderson -- sekali lagi menjadi taruhan berikutan ketiadaan David de Gea yang menyambut kelahiran anak sulungnya -- disusuli peluang Rodri pada awal separuh masa kedua.

United sebaliknya merobek gawang seteru kota itu buat kali kedua apabila Shaw menyempurnakan lariannya dengan gol selepas saling membuat hantaran dengan  Marcus Rashford.

City terus buntu untuk menembusi kubu juara 20 kali itu biarpun selepas lima minit melepasi masa kecederaan apabila sekadar melakukan lima percubaan tepat daripada 21 kesempatan. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen