Manchester United mengesahkan pertahanan kiri, Luke Shaw, akan tersisih sebulan kerana dilanda kecederaan hamstring ketika berdepan Everton.

Pemain berusia 25 tahun itu dikeluarkan pada minit ke-67 dalam kemenangan 3-1 United di Goodison Park -- dia mengumpan kepada jaringan pertama perlawanan yang disumbangkan Bruno Fernandes.

Ia adalah perlawanan kedua berturut-turut pemain antarabangsa England itu mencipta bantuan jaringan selepas gagal melakukannya dalam lapan perlawanan terdahulu.



39 hantarannya ke dalam kotak lawan musim ini hanya diatasi oleh lima pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lain namun dia hanya mencipta satu peluang berharga -- untuk gol Fernandes itu-- sepanjang tujuh perlawanan.

Lantas, Shaw bakal terlepas perlawanan EPL berdepan West Brom, Southampton dan West Ham selain pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Istanbul Basaksehir, Paris Saint-Germain (PSG) dan RB Leipzig.

Begitupun, Ole Gunnar Solskjaer sedia mempertaruhkan Alex Telles yang baru diturunkan dalam satu perlawanan sahaja sejak dibeli daripada Porto Oktober lalu akibat COVID-19.

Victor Lindelof dan Marcus Rashford turut bergelut ketika berhitung dengan Everton, sehubungan itu pengurus dari Norway tersebut menyalahkan jadual padat EPL.

"Kami diatur untuk gagal," katanya kepada BT Sport Sabtu lalu.

"Saya pernah katakan kepada anda (wartawan) ketika saya merungut mengenai waktu sepak mula yang seolah-olah mahu mengatur kegagalan untuk anak buah saya.

"Kami membuatkan Luke Shaw tercedera kerana kami perlu berkunjung ke Turki, kami telah menempuhi banyak perlawanan musim ini dan kami ke Turki Rabu lalu kemudian menjalani sesi latihan pada pagi Khamis untuk menghadapi perlawanan Sabtu yang dilangsungkan pada waktu makan tengah hari.

"Ia satu yang amat tidak tersusun jadi saya mahu memuji pemain saya berhubung karakter yang mereka tonjolkan Itu sahaja yang ingin saya tekankan. Pemain layak untuk mendapat (jadual yang) lebih baik berbanding sengaja dibiarkan gagal.

"Pihak penganjur sengaja mahu menggagalkan kami. Bagaimanakah mereka mengatur perlawanan membabitkan kami? Selepas mengharungi perlawanan UCL di Turki pada Rabu malam, kemudian kami diatur untuk beraksi pada jam 12.30 tengah hari Sabtu?"

Perlawanan pertama membabitkan United selepas rehat antarabangsa dengan West Brom di tempat sendiri, 21 November depan.