Manchester United telah dikecewakan dengan keputusan buruk musim ini tetapi mereka sentiasa meningkat di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer, kata pemain tengah pasukan itu, Scott McTominay.

Skuad kendalian Solskjaer itu disingkirkan daripada Piala FA oleh Leicester City dalam perlawanan terakhir sebelum waktu rehat anatarabangsa -- kekalahan di laman lawan pertama sejak 30 perlawanan lalu.

United turut disingkirkan dalam separuh akhir Piala EFL oleh Manchester City dan terkeluar dalam pusingan awal Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Bagaimanapun, The Red Devils mengatasi Real Sociedad dan AC Milan untuk bertemu Granada dalam suku akhir Liga Europa selain berada di tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL).

'Kami mempunyai pemain dengan kualiti tertinggi," katanya kepada ESPN.

"Orang ramai terlalu cepat melupakan betapa baik kami telah melakukannya. Hanya keputusan buruk telah mengecewakan kami. Pasukan ini sedang berubah. Ia bukan masanya untuk panik," katanya.

McTominay telah diturunkan sebanyak 39 kali dalam kesemua kejohanan musim ini, di mana ia penampilan terbanyaknya bersama kelab itu sejak melakukan penampilan pertama dalam musim 2016-17.

Dia juga merupakan pemain tengah di tangga kedua dalam senarai penjaring terbanyak (empat gol) di belakang Bruno Fernandes (16).

United akan kembali beraksi dalam saingan EPL dengan menentang Brighton and Hove Albion di Old Trafford awal pagi Isnin ini.