Marcus Rashford dalam keraguan sempena pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan Manchester United dengan Burnley malam esok, kata Ole Gunnar Solskjaer.

Khidmat pemain antarabangsa England itu tidak digunakan di bangku simpanan ketika United menang 2-0 ke atas Granada semalam untuk mara ke separuh akhir Liga Europa menentang Roma dengan agregat 4-0.

Rashford -- yang sering bergelut kecederaan kaki -- merekodkan jaringan ke-20 musim ini dalam pertemuan pertama, sekali gus meletakkannya sebagai pemain The Red Devils pertama yang mencatat jaringan dua angka dalam kempen berturut-turut sejak Wayne Rooney melakukannya 11 tahun lalu.

Pemain berusia 23 tahun tersebut hanya terlepas tiga perlawanan musim ini, sehubungan itu pengurus terbabit mengatakan bahawa dia akan memberikan Rashford ruang untuk mengembalikan kecergasannya.

"Ia adalah satu bonus besar apabila dia tidak perlu memberi tekanan pada kakinya (bertemu Granada)," kata Solskjaer dalam sidang media.

"Saya berharap dia bersedia dan tidak menjadikannya bertambah buruk. Itulah keputusan yang harus saya buat.

"Dia tidak semestinya berada di bangku simpanan. Dia tidak berlatih kelmarin (Rabu) tetapi kami masih mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya khidmatnya diperlukan.

"Jadi, ini adalah satu keputusan yang harus saya buat esok. Tetapi dia adalah tunjang kami. Ini sukar. Kami perlu memantau Marcus dalam beberapa hari ini."




United akan menyambut Burnley di Old Trafford dalam misi memenangi perlawanan EPL kelima berturut-turut buat pertama kalinya sejak mereka memenangi enam perlawanan pertama di bawah kepemimpinan Solskjaer pada Januari 2019.

Walaupun tiga mata lagi membawa mereka selangkah lebih dekat untuk menjamin kedudukan empat teratas, ia tidak mungkin membantu mereka memberi tekanan kepada pendahulu liga, Manchester City, yang memimpin 11 mata di depan jiran mereka itu yang beraksi lebih satu perlawanan.

Solskjaer belum bersedia untuk mengangkat bendera putih tetapi mengakui adalah mustahil City akan keciciran banyak mata bagi meningkatkan peluang mereka.

"Sudah tentu kami tidak akan menyerah sama sekali," katanya.

"Manchester United tidak akan pernah berputus asa. Kelab ini telah menempuhi banyak kemunduran dan terlalu banyak kebangkitan hebat yang dipacu DNA kami.

"Adakah ini sesuatu yang realistik? Tidak, mungkin tidak. Apabila anda berdepan pasukan yang begitu tekal seperti Manchester City, anda tidak akan mengharapkan mereka akan kalah tiga kali dalam enam perlawanan terakhir.

"Kami akan melakukan tugas kami, kami ingin mengakhiri musim ini dengan mantap dan berdepan satu persatu perlawanan."

United berkelebihan tujuh mata ke atas Leicester City untuk memperbaiki kedudukan ketiga yang dicapai musim lalu.

Walaupun Solskjaer gembira dengan kemajuan pasukannya musim ini, dia tidak akan berpuas hati selagi mereka belum memenangi gelaran liga sejak gemilang yang dicipta Alex Ferguson dalam musim terakhirnya bertugas pada 2012-13.

"Anda harus mencatatkan kemajuan, langkah demi langkah, itulah kenyataannya," jelasnya.

"Jika Man City memenangi kesemua perlawanan, kami juga mahu begitu untuk menamatkan saingan dengan hebat.

"Kami meraih tempat ketiga tahun lalu dan kali ini kedua, kami semakin hampir dengan trofi. Ini satu kemajuan. Ini bukan perlawanan akhir; aksi terakhir ialah dengan memenangi liga. Tetapi kami bukan dalam era Sir Alex jadi kami memerlukan masa untuk tranformasi sejak persaraannya.

"Tetapi ini adalah kemajuan, langkah demi langkah dan jika kami melakukannya dengan cukup baik, tentu sahaja kami akan menjulang trofi dan gelaran liga, Ini merupakan cita-cita kami."