Pep Guardiola berasakan pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Chelsea tengah malam ini tidak akan mempengaruhi prospek Manchester City dalam final Liga Juara-Juara (UCL).

The Cityzens akan menjadi tuan rumah kepada pasukan kendalian Thomas Tuchel itu selepas kedua-dua pasukan pada minggu ini menempah tiket ke perlawanan akhir dengan kejayaan mengagumkan ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid.

Semua tumpuan akan beralih kepada kelebihan psikologi yang dilihat boleh dicapai oleh salah satu kem, tetapi Guardiola berpendapat perlawanan ini boleh menjadi penentu kepada perhitungan akhir di Istanbul yang hanya akan berlangsung 22 hari lagi iaitu 29 Mei depan.

Kemenangan akan menyaksikan City ditabalkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali ketiga dalam tempoh empat musim dan ini menjadi keutamaan pengurus merek itu.

"Pertama sekali, tahniah kepada Chelsea kerana menjejak kaki ke final. Mereka menampilkan persembahan yang mantap terhadap raja pertandingan ini di Real Madrid," katanya dalam sidang media pra-perlawanan semalam.

"Sekiranya kami akan menghadapi final dalam masa seminggu lagi, ia mungkin akan mempengaruhi pertemuan ini tetapi selepas esok, kami masih mempunyai 21 hari untuk diharungi. Banyak perkara boleh berlaku. Kami hanya perlu fokus.

"Liga Perdana sangat penting untuk diri sendiri; kami tidak memikirkan kejohanan lain.

"Sudah tentu, mereka adalah lawan yang akan kami hadapi dalam final tetapi kami akan mencuba dan beraksi dengan pemain yang akan diputuskan untuk diturunkan, dipersiapkan dengan sempurna untuk cara mereka beraksi dan berusaha mengalahkan seteru kami."




The Blues menewaskan barisan City 1-0 dalam separuh akhir Piala FA bulan lalu, justeru membangkitkan persoalan adakah skrip pertemuan hujung minggu ini akan berulangan.

"Tiada siapa yang sudah memikirkan soal final UCL memandangkan kejuaraan liga pun belum di dalam genggaman kami," jawabnya.

"Sebaik kami mengesahkan trofi liga, semoga esok, maka tumpuan kemudian akan diberikan kepada UCL dan segala berkaitan dengan final.

"Saya sangat berhati-hati, saya rasa jika anda belum memilikinya, anda tidak boleh membicarakannya. Kami masih memerlukan mata dan kami harus mendapatkannya secepat mungkin untuk meraikannya."