Manchester City capai kemuncak prestasi bertemu Shakhtar - Guardiola

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2018 278
 Manchester City capai kemuncak prestasi bertemu Shakhtar - Guardiola
SHAKHTAR DONETSK 0 MANCHESTER CITY 3

Pep Guardiola memuji persembahan babak pertama Manchester City dalam kemenangan 3-0 Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Shakhtar Donetsk awal pagi tadi yang disifatkannya sebagai yang terbaik sepanjang tempoh di bawah kendaliannya.


City muncul wakil Inggeris pertama yang mencapai kemenangan di gelanggang Shakhtar di pentas Eropah untuk meraih tangga teratas Kumpulan F di samping Lyon yang seri dengan Hoffenheim.

David Silva dan Aymeric Laporte menjaringkan gol dalam tempoh 35 minit terawal dan jaringan itu mungkin akan lebih besar sekiranya Gabriel Jesus dan Riyad Mahrez lebih tajam dalam permulaan aksi. 

Ledakan Bernardo Silva selepas rehat melengkapkan persembahan yang menceriakan Guardiola yang sebelum ini secara terbuka meragui kemampuannya pasukannya untuk memenangi kejohanan itu.

"Luar biasa. Ia aksi separuh pertama terbaik yang pernah kami pamerkan dalam tempoh tiga musim terakhir," kata pengurus City berkenaan. 

"Kami berada di bawah tekanan selepas tewas kepada Lyon. Kemenangan pada minit-minit terakhir di Hoffenheim (bermakna) kami berada dalam kedudukan yang baik dan kini kami dapat menentukan nasib sendiri.

"Apa yang paling saya suka adalah mengenai cara kami bermain, hasilnya sangat baik kerana kami dapat lihat keupayaan sebenar Shakhtar dalam separuh masa kedua. Mereka mengasak dan mereka sentiasa mempunyai pemain berbakat.

"Kemenangan di tempat lawan sangat penting dan kami akan menikmati kemenangan malam ini dan pada hari-hari berikutnya."

City berpeluang untuk mara ke pusingan kalah mati apabila kedua-dua pasukan bertemu lagi di Stadium Etihad dalam masa dua minggu lagi. 

Kekalahan akan menghumban Shakhtar ke tempat tercorot dan menutup peluang kemaraan. Sehubungan itu pengurus, Paulo Fonseca, sudah bersedia untuk menghadapi situasi sukar dalam perlawanan timbal balik nanti. 

"Ia akan menjadi lebih sukar untuk menentang City di Manchester," katanya.

"Namun, kami akan berjuang sehingga saat akhir dan cuba mendapatkan beberapa mata. Kami bermain untuk memenangi setiap perlawanan, begitu juga dengan aksi akan datang dan ia tidak akan berubah."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen