MAN UNITED 1 ARSENAL 1

Manchester United adalah pasukan paling malang dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), kata pengurusnya, Jose Mourinho.

Juan Mata meletakkan United di hadapan pada minit ke-68 dalam pertemuan dengan Arsenal di Old Trafford malam ini, namun tandukan Olivier Giroud -- seminit sebelum masa sebenar permainan tamat -- memusnahkan impian tuan rumah untuk memungut mata penuh.

Keputusan seri ini merupakan kali ketiga di tempat sendiri yang dirakamkan pasukan kendalian Mourinho dan pengurus Portugis itu semakin hilang sabar dengan tuah yang tidak memihak kepada United kebelakangan ini.

"Manchester United adalah pasukan paling malang dalam Liga Perdana," katanya kepada Sky Sports.

"Dalam tiga perlawanan terdahulu di tempat sendiri, ketika berdepan Stoke City, kami patut menang lima atau 6-0, tapi kami seri.

"Ketika menentang Burnley, kami boleh menang lima atau 6-0 dan kami seri.

"Hari ini, kami boleh menang dua atau 3-0, tapi kami juga seri, jadi saya berasakan kami adalah pasukan paling malang.

"Namun, kami telah mempersembahkan aksi baik, mereka telah berusaha dengan baik sekali."

Mourinho berpendapat pasukannya berhak memungut tiga mata di Old Trafford dengan anggapan The Gunners telah dikekang menerusi pertahanan mantap.

"Kami adalah pasukan yang jauh lebih baik. Saya enggan mengatakan mereka (Arsenal) tidak mahu menang, tapi mereka tidak memiliki peluang untuk menang," tambahnya.

"Mereka tenggelam dalam corak permainan kami. Kubu kami sangat kental -- cara kami memberi tekanan, kami sangat bagus ketika tanpa penguasaan bola. Kami mengekang serangan balas mereka dan pemain terbaik mereka.

"Kami sangat selesa tatkala menguasai bola. Kami mempamerkan kualiti bola sepak, kami menjaringkan gol yang menakjubkan. Kami berpeluang untuk membunuh perlawanan.

"Situasi peluang terbuka Marcos Rojo dan Paul Pogba boleh menghasilkan gol kedua. Satu-satunya detik kami berdepan kesukaran, mereka menjaringkan gol.

"Maka, mereka bertuah dan kami bernasib malang, tapi itulah bola sepak."

United dinafikan sepakan penalti selepas Antonio Valencia terjatuh akibat dikasari oleh Nacho Monreal, namun Mourinho menolak untuk menyalahkan pengadil perlawanan, Andre Marriner.

"Saya tidak mahu membangkitkannya. Saya menghormati Andre Marriner, dia adalah pengadil di mana jika dia tersilap membuat keputusan ke atas pasukan saya, saya tahu dia tidak berniat," tambahnya lagi.

"Saya masih ingat apa yang dikatakannya dalam bilik persalinan sebelum perlawanan: Saya tidak mahu menonjol, saya mahu menjalankan tugas dan anda perlu membantu saya untuk melakukan yang terbaik.

"Dia tidak mahu menjadi bintang perlawanan ini, dia bersikap jujur dan seorang pengadil yang baik. Jika ia adalah satu kesilapan, saya tidak mahu kata ya atau tidak -- saya tahu kerana saya sudah menonton rakaman itu beberapa kali -- saya tidak mahu mengatakan apa-apa kerana dia adalah seorang pengadil dan dia cuba membuat yang terbaik."