Maitland-Niles dicabar pamer aksi tekal 

Oleh Shaiful Shamsudin 30 Ogos 2020 198
 Maitland-Niles dicabar pamer aksi tekal 
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, melontarkan cabaran buat Ainsley Maitland-Niles supaya menghasilkan penampilan terbaiknya dengan lebih tekal selepas dia menyambut ulang tahunnya yang ke-23 dengan ditabalkan juara Piala Perisai Komuniti selain menerima panggilan pertama untuk menyertai kem England.

Maitland-Niles dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan ketika The Gunners seri 1-1 dengan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, di Wembley menerusi kemenangan penentuan sepakan penalti 5-4. 

Seperti yang dilakukannya dalam kemenangan separuh akhir dan final Piala FA ke atas Manchester City dan Chelsea, Arteta memilih Maitland-Niles untuk mengisi sayap kiri.

Sejurus perlawanan beraksi, pemain muda itu sedar bahawa ciri-ciri serba bolehnya membuka ruang buatnya untuk diserapkan dalam skuad kendalian Gareth Southgate itu yang bakal menghadapi Iceland dan Denmark dalam Liga Negara-Negara Eropah, minggu depan.

Southgate tidak mempunyai bek kiri sejati sehingga turut menyenaraikan muka baru daripada Wolves, Conor Coady, setelah persiapan mereka terjejas tanpa tonggak Manchester United, Harry Maguire.

Masa depan Maitland-Niles menjadi tidak menentu beberapa minggu kebelakangan ini memandangkan Wolves dan Newcastle United disebut-sebut berminat untuk mendapatkan khidmatnya, lantas selepas perlawanan, Arteta dalam sidang akhbar menuntut pemain akademi kelab London itu supaya terus berusaha keras. 

"Dalam latihan setiap hari, dia perlu meyakinkan saya bahawa dia mampu bersaing seperti di tahap ini -- bukannya tiga bulan sekali sebaliknya setiap tiga hari sekali," katanya kepada BT Sport.

 

Arteta menambah: "Corak permainannya ketika ini menunjukkan kepada saya bahawa dia mampu melakukannya. Mentalitinya, cara dia memperincikan setiap persiapan bagi menghadapi perlawanan jauh lebih baik daripada sebelum ini.

"Saya sangat gembira bagi pihaknya kerana dia mengubah banyak perkara di sekelilingnya demi menjadi pemain yang dia mampu lakukan. 

"Cara terbaik untuk membuktikan kepada pemain apa yang sedang difikirkan oleh pengurus ialah dengan memberinya peluang untuk beraksi.

"Dalam perlawanan hari ini, dia sekali lagi ditempatkan dalam barisan utama- seperti yang dilakukannya ketika menentang City dalam separuh akhir dan final bertemu Chelsea."

Penjaga gawang, Emiliano Martinez, yang acap dikaitkan dengan Aston Villa, sekali lagi mempamerkan ketangkasan yang mengagumkan dalam kesempatan besar itu, namun kepulangan Bernd Leno daripada kecederaan mungkin menghadkan penampilan pemain Argentina itu sebaik kempen EPL bermula bulan depan.

"Kami berada dalam pasaran pemain dan timbul banyak spekulasi," kata Arteta. 

"Emi telah menunjukkan kemampuannya dalam beberapa bulan terakhir ini. 

"Saya yakin bahawa dia mampu beraksi dengan tekal. Dia telah membuktikannya dalam perlawanan hari ini. 

"Tetapi saya tidak dapat menghentikan spekulasi dan apa yang dapat ditulis oleh semua orang mengenai perkara ini."

Ditanya adakah ada tawaran untuk Martinez, Arteta menjawab: "Saya tidak akan membincangkan secara terbuka tentang yang berlaku ke atas pemain kami."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen