Bintang Manchester City, Riyad Mahrez, berkata dia tidak terkejut apabila bekas kelabnya, Leicester City, mampu kembali bersaing untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Skuad The Foxes kendalian Brendan Rodgers itu muncul pencabar terdekat Liverpool, yang mendahului carta liga dengan kelebihan 10 mata.

Mahrez merupakan antara tonggak pasukan itu yang turut meraih Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Bolasepak Profesional (PFA) ketika Leicester, yang dibawah kendalian Claudio Ranieri, mengejutkan dunia apabila menjuarai Liga Perdana musim 2015-16.

Pemain sayap kebangsaan Algeria itu turut berasakan prestasi cemerlang bekas rakan sepasukannya, Jamie Vardy -- yang berkelebihan lima gol dalam perebutan Anugerah Kasut Emas -- menjadi kunci utama kejayaan Leicester musim ini.

"Saya tidak terkejut, mereka pasukan yang bagus. Mereka memiliki pemain yang bagus dan Jamie Vardy menjaringkan banyak gol," katanya menjelang pertemuan City dengan Leicester di Stadium Etihad awal pagi esok.

"Mereka memiliki pengurus yang bagus. Saya langsung tidak terkejut.

"Saya fikir (mereka benar-benar pencabar kejuaraan) kerana mereka berada di tangga kedua.

"Saya amat gembira untuk mereka.

"Mereka layak untuk berjaya dan saya tidak sabar untuk melalui perlawanan ini.

"Kami mempunyai banyak memori sewaktu saya berada di sana.

"Apa yang telah kami raih bersama-sama amat luar biasa, jadi kelab itu amat bermakna buat saya.

"Gelaran pertama saya bersama Leicester merupakan antara pingat yang amat bermakna buat saya.

"Sama seperti kejuaraan dalam Piala Negara-Negara Afrika bersama negara saya, jadi ia memberikan banyak emosi dan amat bermakna.

"Tetapi dengan Leicester, ia pencapaian yang sukar dipercayai dan tiada siapa menyangka kami akan melakukannya," katanya.

Aksi tidak tekal City mengakibatkan mereka ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Liverpool, yang diatasi mereka untuk menjuarai liga musim lalu.

Dengan rekod 14 kemenangan berturut-turut dalam musim 2018-19, City meraih 98 mata untuk mengatasi The Reds (97 mata) dan Mahrez berasakan keputusan dalam beberapa perlawanan lalu telah membuktikan bahawa mereka masih belum terkeluar daripada perlumbaan untuk mempertahankan kejuaraan itu.

"Kami sedar kami berkemampuan untuk melakukannya sekali lagi.

"Tetapi anda perlu membuktikannya di atas padang, perlu fokus dan mencuba untuk tidak terlalu memikirkan mahu memenangi setiap perlawanan.

"Anda hanya perlu memenangi satu-satu perlawanan.

"Kami hanya memikirkan mengenai perlawanan yang akan tiba," katanya lagi.