Riyad Mahrez tidak pernah meragui keupayaannya untuk menyesuaikan diri di Manchester City dan tidak berniat untuk meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Mahrez tidak diturunkan dalam kesebelasan utama skuad kendalian Pep Guardiola itu dalam aksi liga, sejak 3 April lalu, sebelum disenaraikan dalam skuad utama ketika mereka menentang Brighton & Hove Albion dalam kemenangan 4-1, Ahad lalu.

Bekas bintang Leicester City itu -- yang membantu kejayaan mengejut The Foxes meraih gelaran EPL 2016 -- kemudian membalas kepercayaan Guardiola dengan mencetuskan bantuan gol kepada Aymeric Laporte untuk meletakkan City di depan selepas Sergio Aguero memadamkan gol pembukaan Glenn Murray sebelum dia mencetak gol ketiga perlawanan pada pertengahan separuh masa kedua.

Biarpun bergelut untuk merebut tempat dalam skuad utama, Mahrez menegaskan bahawa dia sentiasa percaya dengan kualitinya.

"Bukan mudah untuk menyertai sebuah pasukan yang sudah pun mantap dan mempunyai pilihan pemain yang ramai," katanya kepada pemberita akhbar UK.

"Kami telah mencurahkan segala-galanya musim lalu. Saya tahu bukan mudah pada tahun pertama penyertaan tetapi saya yakin dengan diri sendiri dan saya tidak mempunyai keraguan mengenai kualiti sendiri.

"Saya sedar apabila diberikan peluang, saya akan memanfaatkannya. Saya menjaringkan gol di Brighton dan membantu pasukan."

Khabar angin tersebar yang mendakwa Mahrez sedang mencari jalan keluar daripada City, namun tonggak Algeria itu menepis cadangan tersebut.

"Saya sangat gembira di sini," tambah Mahrez. "Saya tidak ingin berhijrah ke tempat lain hanya kerana saya tidak diturunkan. Ia adalah sebahagian daripada bola sepak.

"Saya perlu tabah dan terus tabah. Ia sebahagian daripada keperibadian saya, saya tidak berselindung."

City -- yang turut memenangi Piala Liga Inggeris (EFL) -- masih berpeluang untuk menyempurnakan kejayaan domestik 'treble' untuk kempen luar biasa musim ini menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Watford, awal pagi Ahad ini.