Kapten Manchester United, Harry Maguire, mengaku tidak bersalah di atas tuduhan berkaitan pertelingkahannya dengan anggota polis ketika bercuti di Mykonos.

Maguire dan dua lelaki lain ditahan Khamis lalu berikutan satu insiden dengan pegawai polis di kepulauan Greece itu.

Satu kenyataan polis berkata individu berusia 27 tahun itu didakwa kerana melakukan serangan serius.

Peguam Maguire, Konstantinos Darivas, dipetik sebagai berkata oleh The Guardian bahawa anak guamnya itu menafikan dakwaan berkenaan.

Selepas pemain kebangsaan England itu tiba di mahkamah di Syros -- pusat pentadbiran daerah itu -- semalam, United mengeluarkan kenyataan terbaru berhubung perkara itu.

"Mengenai kes di mahkamah hari ini, kami mendapati bahawa penangguhan kes itu adalah untuk membenarkan pasukan undang-undang untuk mempertimbangkan fail kes berkenaan.

"Harry mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan itu. Tidak wajar untuk kelab ini atau pemain berkenaan memberikan komen lanjut ketika proses undang-undang masih berjalan," kata United dalam satu kenyataan.

Terdapat laporan mendakwa bahawa Maguire tidak perlu hadir ke mahkamah ketika prosiding itu bersambung Selasa ini.

Maguire dilantik sebagai kapten oleh pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, pada Januari lalu selepas lima bulan menyertai pasukan itu daripada Leicester City dengan perpindahan bernilai £80 juta (RM437.7 juta) -- rekod perpindahan termahal dunia bagi seorang pemain pertahanan.

Dia melakukan 55 penampilan dalam kesemua kejohanan buat United musim lalu, termasuk beraksi dalam setiap minit perlawanan Liga Perdana Inggeris, di mana skuad The Red Devils itu manamatkan saingan di tempat ketiga.