Maguire masih kapten Manchester United, kata Solskjaer

Oleh Muzaffar Musa 13 September 2020 445
Maguire masih kapten Manchester United, kata Solskjaer
Harry Maguire akan kekal selaku kapten Manchester United di sebalik kes mahkamahnya di Greece, kata pengurus pasukan itu Ole Gunnar Solskjaer.

Maguire didapati bersalah melakukan serangan serius, mengelak daripada diberkas dan percubaan melakukan rasuah berkali-kali di sebuah mahkamah di Syros bulan lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu, yang mengaku tidak bersalah di atas kesemua pertuduhan terhadapnya, ditahan bersama dua tertuduh lain selepas terlibat dalam satu pergaduhan bersama pihak polis ketika bercuti di kepulauan berhampiran Mykonos.

Wakil guaman Maguire sudah mengemukakan rayuan dan ia bermakna keputusan awal itu dibatalkan dan perbicaraan berkenaan akan diadakan di mahkamah yang lebih besar.

Pemain kebangsaan England itu, yang digugurkan daripada skuad kendalian Gareth Southgate berkenaan dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah, berkata kepada BBC bahawa dia gusar dengan keselamatan dan nyawanya dalam insiden itu kerana pegawai polis berkenaan hanya berpakaian biasa.

"Saya fikir tidak mungkin mereka adalah pegawai polis.

"Penundaan kes ini akan memberikan kami lebih masa untuk menyediakan bukti, membenarkan saksi ke mahkamah.Saya amat yakin kebenarannya akan terdedah," katanya.
 
Bercakap menjelang perlawanan persahabatan menentang Aston Villa malam ini, Solskjaer masih mempertahankan ketua pasukannya itu.

"Sudah pasti, seperti yang anda kata, Harry menghadapi musim panas yang sukar," katanya kepada MUTV.

"Dia tidak dapat waktu rehat yang panjang. Waktu rehatnya berbeza dengan pemain lain memandangkan kami memberikannya waktu rehat lebih panjang dan selepas itu, dia akan kembali dan kelihatan baik.

"Dia menangananinya dengan amat baik dan sudah pasti, saya akan berada di sini untuk menyokongnya.

"Dia akan menjadi kapten kami. Kami hanya membiarkan Harry dan pasukannya untuk meneruskan proses itu.

"Bagi saya, dia sorang manusia yang amat baik dan sorang yang sentiasa positif. Seorang lelaki dengan nilai yang murni.

"Jadi, saya benar-benar berharap kita dapat menyaksikan Harry beraksi di tahap terbaiknya," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen