Maguire: Manchester United idam gelaran, tidak puas setakat tiket UCL

Oleh Shaiful Shamsudin 21 April 2020 223
Maguire: Manchester United idam gelaran, tidak puas setakat tiket UCL
Manchester United tidak akan hanya berpuas hati dengan cabaran dalam Liga Juara-Juara (UCL) sebaliknya mengidamkan gelaran, justeru Harry Maguire berasakan mereka berada di landasan yang tepat untuk mencapainya.

Setelah menjadi pasukan dominan kancah tempatan di bawah kendalian Sir Alex Ferguson, United gagal merebut tangga teratas sejak persaraannya pada 2013.

Louis van Gaal mengetuai The Red Devils ke final Piala FA pada 2016 sebelum Jose Mourinho menjulang kejuaraan berganda, Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Europa, pada tahun berikutnya.

 
United di tangga kelima, tiga mata di belakang pasukan kelompok empat teratas, Chelsea, sebelum novel koronavirus (Covid-19) semakin merebak.

Maguire, yang disambar daripada Leicester City dengan tanda harga GBP80 juta (GBP435.9j) Ogos lalu, percaya Ole Gunnar Solskjaer mempunyai pasukan yang dalam perjalanan untuk kembali ke puncak bola sepak Inggeris.

"Saya rasa anda dapat melihatnya dari awal musim ini lagi, kami lebih menjurus sebagai sebuah pasukan. Anda dapat melihat ke mana kami ingin pergi, di mana kami mahu tuju," katanya kepada Sky Sports.

"Saya tahu ketika saya pertama kali datang ke Man United, Ole kerap berpesan bahawa ini adalah proses pembinaan pasukan tetapi kami akan sampai ke tempat yang dihajati. Saya boleh melihat ke mana arah yang kami tuju dan gaya yang ingin diterapkannya.

"Jangan salah sangka, masih banyak aspek yang perlu diperbaiki untuk sampai ke puncak, tempat di mana kami mahu berada. Kami tidak mahu hanya mencabar tempat UCL, kami mahu menjadi pencabar gelaran.

"Kami sedar masih ada banyak peningkatan yang perlu ditunjukkan untuk sampai di sana tetapi kami berada di jalan yang betul. Saya yakin akhirnya kami akan sampai di sana."

Maguire menjadi tokoh penting buat United musim ini apabila dilantik sebagai kapten kelab berikutan Ashley Young angkat kaki ke Inter pada Januari lalu.

Ketika ditanya apakah ada perkara yang mengejutkannya di Old Trafford, pemain antarabangsa England itu berkata: "Harapan yang perlu dipikul. Beraksi untuk Manchester United, setiap perlawanan adalah sangat penting.

"Saya sudah tahu mengenainya sebelum datang ke kelab ini. Saya sempat bercakap dengan bekas pemain -- saya banyak berbincang dengan Jonny Evans yang sepenuhnya mengesyorkan saya bahawa United adalah sebuah kelab yang sukar dipercayai.

"Ia lebih daripada sebuah kelab bola sepak. Saya rasa anda melihatnya dengan cara mereka bertindak ketika krisis ini. Ia berfungsi dengan baik bersama masyarakat di Manchester. Anda telah menyaksikannya berdasarkan usaha-usaha yang telah dilakukan."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen