Harry Maguire gembira dengan peningkatan yang dipamerkan pertahanan Manchester United selepas dibelasah 1-6 oleh Tottenham di gelanggang sendiri awal bulan ini.

Kekalahan itu menyaksikan United berdepan rekod terburuk mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas dengan perbezaan lima gol buat kali keempat dalam sejarah dan kali pertama sejak tewas dengan rekod sama kepada Manchester City pada Oktober 2011.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu kemudian tidak pernah tewas sepanjang empat perlawanan dan mengekalkan rekod tanpa bolos dalam dua perlawanan berturut-turut ketika berdepan Chelsea dan RB Leipzig selepas mencatatkan kemenangan di laman Newcastle United dan Paris Saint-Germain (PSG).

Maguire, yang bermain dalam setiap minit aksi EPL musim ini, mengakui pasukannya menghadapi krisis selepas dibolosi 12 gol dalam tiga perlawanan pertama.

"Selepas (kekalahan kepada) Tottenham, kami semua binasa," katanya dalam laman web rasmi kelab itu.

"Kami baru menghadapi tiga perlawanan musim ini tetapi ia rasa seperti kami sedang berada dalam satu krisis yang besar.

"Ia satu perasaan yang agak aneh tetapi kami tidak jangka akan tewas di Old Trafford -- dan kami tidak jangka akan tewas seperti itu.

"Kami dibolosi terlalu banyak dalam tiga perlawanan pertama, jadi sebagai satu unit pertahanan, yang telah merekodkan perlawanan tanpa bolos terbanyak di Eropah tahun lalu, kami sedar kami perlu meningkat, kami perlu menjadi lebih kukuh," katanya.

United berdepan 54 percubaan sepanjang tiga perlawanan liga pertama -- 18 daripadanya merupakan percubaan tepat -- di mana ia merupakan rekod terbanyak berbanding mana-mana pasukan sepanjang tempoh itu -- West Ham menjadi pasukan kedua terburuk dengan 52.

Bagaimanapun, barisan kendalian Solskjaer itu hanya berdepan 13 percubaan dalam dua perlawanan terakhir -- hanya Brighton and Hove Albion mempunyai rekod lebih baik dengan 10 -- dan Maguire tampil menjelaskan mengenai usaha keras yang dilakukan mereka kebelakangan ini.

"Saya fikir selepas waktu rehat antarabangsa, kami kembali tidak mudah melepaskan gol sepertimana tahun lalu.

"Kami bermain sebagai satu unit yang kukuh daripada asas yang kukuh.

"Ia sesuatu yang amat penting -- terutama buat barisan pertahanan -- untuk memastikan kami memberikan pemain barisan depan setiap peluag untuk memenangi perlawanan.

"Jika mereka menjaringkan satu, dua atau tiga gol, ia sepatutnya ditamatkan dengan kemenangan dan itulah yang kami sedang lakukan ketika ini.

"Ia sudah bermula. Musim ini masih awal. Ia akan menjadi perjalanan yang jauh tetapi kami perlu meningkat.

"Kami menyedarinya dan kami sedang melakukannya ketika ini tetapi perjalanannya masih jauh," katanya lagi.