Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, mendedahkan dia telah memaafkan pembantu kedua ketua jurulatih Chelsea, Marco Ianni, susulan aksi tegang di tepi padang dalam pertemuan kedua-dua pasukan yang berakhir 2-2 yang penuh dramatik di Stamford Bridge, semalam.

Bekas pengendali The Blues, Mourinho, dilihat bangun daripada tempat duduknya sebelum terpaksa dihalang pegawai perlawanan selepas Ianni meraikan jaringan pada minit ke-96 daripada Ross Barkley di depannya.

Selepas insiden di tepi padang itu reda, ketegangan tampak berlanjutan di tengah padang sebelum aksi diteruskan.

Namun, Mourinho mendedahkan situasi yang berlaku di antaranya dan Ianni selesai selepas campur tangan pengurus Chelsea, Maurizio Sarri.

"Saya tidak rasa sakit hati terhadap apa-apa," kata Mourinho.

"Apa yang berlaku adalah pembantu Sarri. Sarri orang pertama yang datang ke arah saya dan menjelaskan dia akan menyelesaikan perkara itu secara tertutup.

"Selepas itu, pembantu jurulatih itu datang ke dalam pejabat Sarri untuk berjumpa saya dan meminta maaf. Saya segera memberitahu, 'jika anda benar-benar mahu meminta maaf, sudah tentu saya akan menerimanya dan lupakannya kerana saya juga banyak melakukan kesilapan dalam karier, jadi saya tidak akan membunuh sesiapa hanya disebabkan satu perkara'.

"Lupakan, ia telah berakhir. Dia meminta maaf dan saya memaafkannya."

"Ia bukan reaksi saya tetapi pembantu Sarri. Dia tidak beradab tetapi Sarri mengawal keadaan dan segera meminta maaf.

"Bagi saya, kisah ini telah tamat tetapi usah lakukan apa yang orang ramai katakan seperti 'Mourinho mencipta perkara', ia adalah pembantu Sarri."