Lukaku telah matang di United

Oleh Penulis Jemputan 14 Oktober 2017 1472
Lukaku telah matang di United
Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku, kini telah matang dan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengakui kemampuan yang dimiliki oleh penggempur Belgium itu.

Lukaku menyertai United dari Everton pada musim panas lalu dan telah melalui permulaan musim yang hebat di Old Trafford selepas menjaringkan 11 gol hasil daripada 10 penampilan dalam semua kejohanan.

Klopp dan anak buahnya bakal melayani kunjungan The Red Devils hari ini dan bekas pengendali Borussia Dortmund itu memuji perkembangan yang ditunjukkan oleh Lukaku sejak berpindah ke United.

“Sudah pasti dia kini telah matang. Lukaku masih muda tetapi saya tidak meragui kemampuannya dan dia akan menjadi penyerang bertaraf dunia, sama seperti apa yang dilakukannya ketika di Everton.

“Kini, dikelilingi oleh pemain-pemain hebat di United telah membantunya memberikan sumbangan besar buat pasukan. Mereka telah muncul sebagai pasukan yang hebat dalam menjaringkan gol, sentiasa berjuang untuk mendapatkan jaringan.

“Jelas sekali Lukaku menikmati kehidupannya bersama United. Dia memiliki segala keyakinan yang diperlukan dan saya pasti dia telah meningkat dengan baik sejak berhijrah ke Manchester,” kata Klopp.

Mengenai pertembungan di Anfield, Klopp juga bakal berdepan dengan bekas anak didiknya di Dortmund, Henrikh Mkhitaryan, dan dia turut menghamburkan pujian buat pemain Armenia itu.

“Mkhitaryan merupakan seorang pemain yang hebat. Kami bermain menentangnya dalam aksi bertemu Shaktar Donetsk dan ternyata dia memiliki perwatakan yang sempurna,” tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen