Ejen Romelu Lukaku, Federico Pastorello, berkata Inter Milan amat serius untuk menandatangani penyerang Manchester United itu, namun memberikan amaran kelab Serie A berkenaan perlu segera membuka langkah.

Lukaku terus dikaitkan dengan skuad kendalian Antonio Conte itu selepas mengumumkan hasratnya untuk beraksi di Itali sambil membayangkan tidak akan kekal di Old Trafford.

Pemain kebangsaan Belgium berusia 26 tahun itu menyertai United daripada Everton dengan yuran perpindahan £75 juta (RM390.1 juta) pada 2017 dan gergasi Liga Perdana Inggeris itu mahu meletakkan tanda harga sama kepada Inter.

Selepas bertemu dengan pegawai Inter semalam, Pastorello memberitahu wartawan: "Tiada apa yang baru. Kami bertemu untuk memahami situasi dengan lebih baik.

"Kita akan melihat apa keputusan yang dipilih Inter.

"Ia bukan di tangan kami. Jika pemain itu mahu berpindah (ke Inter), mereka perlu segera.

"Dia (Lukaku) merupakan sasaran sebenar, namun ia tidak bermakna ia akan menjadi nyata.

"Saya fikir perjanjian itu bukan sesuatu yang mudah," katanya.

Lukaku -- yang masih memiliki kontrak dengan The Red Devils hingga 2022 dengan pilihan lanjutan setahun -- menjaringkan 12 gol ketika United menamatkan musim 2018-19 di tangga keenam dan tidak layak untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Dia menjaringkan 15 gol dalam kesemua kejohanan buat United, yang disingkirkan Barcelona dalam suku akhir UCL.