Romelu Lukaku membalas semula kritikan mengenai rekodnya menentang kelab-kelab besar apabila menyatakan dirinya akan membuktikan nilainya yang sebenar bersama Manchester United.

Penyerang Belgium itu gagal memberikan impak buat Red Devils ketika terikat 0-0 menentang musuh tradisi, Liverpool, di Anfield kelmarin.

Dia kini memiliki tujuh jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), namun catatan gol ketika menentang kelab besar masih menjadi persoalan terhadapnya.

Lukaku hanya menjaringkan 15 gol dalam 58 perlawanan menentang United, Liverpool, Arsenal, Chelsea, Manchester City dan Tottenham Hotspur tetapi penyerang berusia 24 tahun itu menyifatkan sewaktu di Everton, segala-galanya lebih sukar dan berlainan dengan sekarang.

"Saya mendengar tentang kritikan orang ramai mengenai perkara itu.

"Ia berbeza sewaktu saya beraksi untuk Everton kerana cara pemikiran yang berlainan apabila beraksi.

"Saya mengharungi tempoh yang baik semasa di sana, mempelajari banyak perkara dan kekal selama empat tahun. Saya bersyukur pernah bermain untuk Everton.

"Tetapi, kadang-kala ia menjadi sukar apabila menentang kelab lebih besar. Kini saya bersama pasukan yang sentiasa mahu menewaskan pasukan besar yang lain, jadi keadaan akan berubah," kata Lukaku.

Bekas penyerang Chelsea itu memiliki peluang keemasan untuk menjaringkan gol ketika menentang Liverpool, namun percubaannya dinafikan oleh Simon Mignolet dan bagi Lukaku, kritikan yang diberikan kepadanya tidak adil.

"Ramai penyerang dalam EPL yang terlepas peluang keemasan dan menjaringkan hanya dua gol tetapi apabila melibatkan saya, ia akan menjadi satu kesalahan. Saya tidak faham dengan cara pemikiran seperti ini.

"Orang ramai akan bercakap apa yang mereka mahu tetapi rekod saya dalam EPL membuktikan segala-galanya kerana ia agak bagus."