David Luiz berkata Chelsea merupakan satu-satunya pasukan yang cuba bermain bola sepak dalam babak pertama ketika mereka seri 2-2 dengan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.

Jaringan Ross Barkley pada masa kecederaan menyumbang satu mata buat Chelsea yang mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di bawah bimbingan Maurizio Sarri.

United melancarkan satu percubaan tepat dalam babak pertama tetapi barisan pemain Jose Mourinho bangkit untuk memimpin permainan selepas rehat hasil ledakan Anthony Martial.

Jaringan Barkley mencetuskan perbalahan di bangku simpanan, namun keputusan itu meninggalkan Chelsea di tangga ketiga, dua mata di belakang pendahulu, Liverpool dan Manchester City.

Luiz, yang bermain di bawah Mourinho ketika pengurus Portugis itu menggalas tanggungjawab di Stamford Bridge, membidas taktik United.

"Kami cuba menang sejak dari awal permainan," kata pertahanan Brazil itu kepada laman sesawang Chelsea.

"Kami menguasai permainan dengan mengawal tempo selain cuba mencipta ruang untuk menjaringkan beberapa gol. Mereka datang dengan niat untuk bertahan dan melancarkan serangan balas.

"Saya fikir dalam babak pertama, hanya kami yang bermain bola sepak. Kami boleh melakukan aksi lebih baik lagi dengan menjaringkan gol kedua untuk membunuh permainan tetapi tidak mudah untuk memenangi perlawanan EPL, terutama menghadapi kelab gergasi.

"Ia memberi mereka peluang kerana kami hanya menjaringkan satu gol dan dalam babak kedua, mereka bangkit dan bernasib baik dapat menjaringkan gol yang memantul daripada pemain kami.

"Selepas United meledak gol, mereka bertambah yakin dan ia merupakan perlawanan yang hebat. Ini adalah aksi Liga Perdana membabitkan pasukan yang hebat, jadi kami perlu terus berusaha keras," tambahnya.

Pertahanan tengah itu, yang telah memulakan kesemua sembilan aksi EPL musim ini selepas dipinggirkan oleh Antonio Conte musim lalu, memuji watak Chelsea untuk mengikat kedudukan.

"Walaupun kami ketinggalan 1-2, kami berusaha mencetak gol penyamaan dan akhirnya kami berjaya melakukannya, jadi saya fikir ia suatu semangat yang luar biasa," katanya.

"Ini adalah perlawanan penting menentang kelab besar dan ia akan sentiasa seperti ini.

"Kita perlu sedar bahawa kami mempunyai semangat yang luar biasa untuk mencuba dan menjaringkan gol kedua dan kami melakukannya pada akhirnya.

"Kami gembira kami telah banyak melangsungkan permainan tanpa kalah, bagaimanapun kami akan terus berusaha keras untuk mencuba dan memperbaiki pasukan kerana ini hanya permulaan."