David Luiz memberi amaran bahawa Arsenal perlu mempertingkatkan benteng untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Permulaan cemerlang The Gunners dalam liga musim ini tamat Sabtu lalu selepas tewas 3-1 di tangan Liverpool di Anfield.

Skuad kendalian Unai Emery itu meraih satu perlawanan liga tanpa dibolosi selepas tiga kali beraksi dan Luiz menegaskan peningkatan di barisan pertahanan adalah kunci utama.

"Kami harus menurunkan jumlah gol dibolosi. Saya rasa jika anda melepaskan banyak jaringan, anda tidak boleh mencabar kejuaraan, jadi ia adalah elemen yang perlu kami perbaiki bagi menjadikan pasukan lebih kuat," katanya.

"Ia bukan saya atau pertahanan lain sahaja tetapi melibatkan mentaliti seluruh pasukan."

Luiz memberikan sepakan penalti kepada lawan sewaktu tewas di tangan Liverpool sambil bekas bek Chelsea itu turut melepaskan Mohamed Salah untuk jaringan ketiga.

Pemain berusia 32 tahun itu percaya perlawanan pasti berbeza jika Arsenal menyempurnakan peluang mendahului ke atas juara Eropah itu.

"Saya fikir pasukan beraksi dengan baik menentang Newcastle dan Burnley untuk memahami corak permainan," tambahnya.

"Kami begitu tajam di Newcastle, menjaringkan gol dengan satu peluang dan tidak dibolosi.

"Berdepan Burnley, kami begitu memahami corak permainan untuk mendapatkan bola lebih awal. Mereka cuba menyumbat gol menerusi sepakan percuma dan situasi bola mati tetapi ketika berdepan Liverpool, ia jadi berbeza jika kami menyumbat jaringan terlebih dahulu. Malangnya, kami tidak melakukannya dan inilah bola sepak.

"Bola sepak memang begitu. Setiap minggu adalah sejarah baru. Kami cuba dan belajar serta meningkatkan permainan."