Dejan Lovren mahu Liverpool, yang dikendalikan oleh Jurgen Klopp, diingati sepertimana Barcelona ketika di bawah bimbingan Pep Guardiola.

Dia percaya mereka mampu meninggalkan legasi sebagai salah satu pasukan terbilang sepanjang zaman.

Liverpool terlepas kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu walaupun merekodkan 97 mata.

Ia menyaksikan mereka seakan-akan sudah ditakdirkan untuk menamatkan penantian selama 30 tahun itu musim ini.

Selepas 25 perlawanan, skuad The Reds berkenaan kini berkelebihan 22 mata di depan juara bertahan, Manchester City, dengan skuad kendalian Klopp itu hanya terlepas satu kemenangan musim ini.

Mereka bukan sahaja semakin hampir untuk dinobatkan sebagai juara liga, malah masih bersaing dalam Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah, yang dimenangi mereka musim lalu.

Sekiranya mereka meneruskan prestasi seperti itu sehingga penghujung musim ini, ia akan menjadi satu rekod baru tetapi Lovren memberi amaran kepada semua pesaing mereka bahawa Liverpool akan terus bernafsu untuk mendapatkan lebih kejayaan pada masa akan datang.

"Saya berada di sini bersama Jurgen sejak dari awal dan ia memerlukan masa lebih kurang dua atau tiga tahun untuk membina segala-galanya seperti ini," katanya kepada Sky Sports.

"Andai kata kami memenanginya musim ini -- kami sepatutnya dapat melakukannya musim lalu tetapi kami kekurangan satu mata.

"Kami kini lebih memahami sesama sendiri apa yang kami perlukan dan apa yang kami mahukan.

"Dan saya sememangnya mahu kami diingati seperti pasukan Barcelona yang memenangi 20 trofi dalam empat tahun.

"Kenapa kami tidak boleh melakukannya? Saya fikir kami boleh melakukannya dan saya mahu kami diingati sebagai antara pasukan terbilang, bukan hanya untuk tahun ini tetapi juga tahun-tahun yang akan datang.

"Kami masih bernafsu, kami masih mahukannya dan sejujurnya, itulah yang menjadikan kami istimewa," katanya.

Liverpool akan kembali beraksi dalam EPL dengan bertandang ke laman pasukan tercorot, Norwich City, Sabtu ini.



Editor: Muzaffar Musa