Legenda Liverpool, Phil Thompson, percaya bahawa pengendali pasukan, Jurgen Klopp, harus mengetepikan Dejan Lovren daripada kesebelasan utamanya menjelang pertemuan dengan Huddersfield Town, esok.

Benteng skuad The Kop dilihat mudah ditembusi ketika dibelasah 4-1 oleh Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hujung minggu lalu, dalam perlawanan yang menyaksikan Lovren terpaksa digantikan selepas babak pertama akibat daripada kesilapan yang dilakukan sehingga membenarkan dua gol awal Spurs.

Thompson tidak dapat melihat bagaimana pertahanan dari Croatia itu boleh membarisi barisan pertahanan Liverpool apabila beraksi di Anfield, sambil menjelaskan dirinya masih tidak faham mengapa Klopp sanggup melepaskan Mamadou Sakho ke Crystal Palace.

“Saya pasti akan mengeluarkan Lovren daripada kesebelasan utama pasukan,” kata Thompson kepada Liverpool Echo.

“Selepas apa yang dilaluinya di Wembley, saya rasa keputusan untuk terus menurunkannya adalah satu perkara yang tidak patut.

“Klopp harus melakukan perubahan. Jika dia masih tidak mempercayai Ragnar Klavan, bermakna dia perlu meletakkan Joe Gomez untuk berpasangan dengan Joel Matip di bahagian pertahanan tengah.

“Liverpool bakal menghadapi rentetan perlawanan yang harus dimenangi selepas ini dan barisan pertahanan perlu berada dalam keadaan benar-benar kental,” tambahnya.