Pemain pertahanan Liverpool, Dejan Lovren, menuduh Romelu Lukaku sengaja memijaknya ketika perlawanan yang berkesudahan seri 0-0 dengan Manchester United, Sabtu lalu.

Pertahanan tengah itu membuat terjahan menggelunsur ke atas penyerang pelawat itu, yang menyaksikan Lukaku terkial-kial untuk melepaskan kakinya.

Lovren berguling sambil menekup muka dengan tangannya sambil Lukaku melepaskan dirinya dan ulang tayang insiden berkenaan membayangkan pertahanan Liverpool itu terkena tumit sepatu penyerang Belgium berkenaan.

Pegawai-pegawai perlawanan tidak mengambil sebarang tindakan pada waktu itu dan dilaporkan bahawa Persatuan Bolasepak England (FA) juga tidak akan melanjutkan kes berkenaan terhadap Lukaku tetapi Lovren percaya dia sengaja dikasari.

Bercakap menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Maribor, dia berkata: “Saya membuat terjahan dan berasakan dia berada di atas saya dan sepatutnya boleh mengelak. Pandangan jujur saya ialah dia melakukannya dengan sengaja.

“Ia bukan keputusan saya. Dia kelihatan gemuruh dalam perlawanan dan barangkali itulah sebabnya. Biasanya, jika anda melakukannya, anda memohon maaf.

"Ia telah pun berlaku dan tiada sesiapa boleh mengubahnya.”

Keputusan seri itu bermakna Liverpool hanya memenangi satu daripada lapan perlawanan mereka dalam semua pertandingan, termasuk Liga Juara-Juara, yang menyaksikan mereka seri di peringkat kumpulan dengan Sevilla dan Spartak Moscow.

Lovren berkata kekecewaan masih memuncak, termasuk kegagalan meraih mata penuh ketika menentang pasukan bimbingan Jose Mourinho itu, tapi bertegas bahawa mereka harus mendapat keyakinan daripada cara mereka bermain.

“Masih terapat kekecewaan kerana kami bermain jauh lebih baik daripada United," katanya.

"Kami memiliki peluang yang kami tidak manfaatkan tapi selepas setiap perlawanan, anda hendaklah mengambilnya daripada sudut positif.

“Kami telah menunjukkan kepada semua orang yang kami boleh bermain menentang pasukan-pasukan besar. Kami tetap yakin,” katanya lagi.