Kapten Tottenham Hotspur, Hugo Lloris, berazam untuk menamatkan penantian kejuaraan buat pasukannya musim ini.

Spurs memaparkan aksi memberangsangkan di bawah kendalian Mauricio Pochettino, namun mereka gagal menjulang sebarang trofi sejak menjuarai Piala Liga Inggeris (EFL) pada 2008.

Mereka kini di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dan sembilan mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Mereka turut mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah selain layak ke separuh akhir Piala EFL berdepan Chelsea.

Penjaga gol skuad juara dunia Perancis, Lloris, berkata: "Kami sedang berusaha untuk mendapatkan piala musim ini.

"Kami sedar persaingan hebat di England dengan kebanjiran pasukan dan pemain ternama.

"Namun, itu yang membuatkan saya teruja beraksi di sini.

"Kami berada di negara yang amat hebat dalam bola sepak dan kami perlu mengekalkan mentaliti yang sama untuk memberikan aksi terbaik.

"Kami telah menunjukkan sebelum ini bahawa Tottenham merupakan pencabar kejuaraan dan jurang di antara kami dan pasukan terbaik England juga semakin mengecil," katanya.

Selepas kekalahan mengejut 1-3 kepada Wolverhampton Wanderers, kelmarin, Tottenham akan berdepan Cardiff City, awal pagi Rabu ini.