Ljungberg lakar perancangan untuk Pepe

Oleh Staff Writer 5 Disember 2019 302
Ljungberg lakar perancangan untuk Pepe
Freddie Ljungberg mahu memastikan pemain termahal kelab, Nicolas Pepe, kembali ke puncak prestasi selepas melalui permulaan suram di Arsenal.

Pepe berhijrah ke Emirates daripada Lille dengan yuran perpindahan GBP72 juta (RM393 juta), Ogos lalu tetapi pemain sayap berusia 24 tahun itu hanya mencatat satu gol dalam 12 penampilan Liga Perdana Inggeris.

Ketika perlawanan pertama di bawah kendalian Ljungberg selaku pengurus sementara, Arsenal diikat Norwich City 2-2, Ahad lalu tatkala Pepe sekadar memanaskan bangku simpanan dan kali terakhir dia berada dalam kesebelasan utama adalah sewaktu menentang Crystal Palace, hujung Oktober lalu.

Bagaimanapun, Ljungberg mahu membantu pemain Ivory Coast itu memulihkan kariernya di Arsenal menjelang pertemuan menentang Brighton and Hove Albion di laman sendiri awal pagi esok.

"Pepe adalah seorang pemain yang sangat bagus. Kadangkala apabila anda hadir daripada liga berbeza, ia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, tidak kira di dalam atau luar padang," kata Ljungberg.

"Saya fikir ia adalah negara baru, corak permainan berbeza. Saya berbual dengannya tentang apa yang saya jangkakan daripada corak permainan yang saya mahukan."

Tatkala Pepe berdepan masalah prestasi di Arsenal, Ljungberg turut meluahkan kebimbangan mengenai kekurangan waktu permainan buat penyerang berusia 20 tahun yang kini dipinjamkan kepada Leeds United, Eddie Nketiah.

Nketiah tampil 11 kali dalam Liga Kejuaraan dan mencipta tiga gol di bawah bimbingan Marcelo Bielsa selepas masuk selaku pemain gantian dan Ljungberg -- yang mengendalikan skuad muda Arsenal sebelum dinaikkan ke pasukan utama musim ini -- mempersoalkan kebaikan proses pinjaman itu.

"Saya perlu berhati-hati apabila bercakap. Saya fikir Nketiah adalah pemain yang hebat," tambahnya.

"Pemain yang dipinjamkan kepada pasukan lain, mereka mahukan aksi bola sepak serta tempoh permainan, jika tidak lebih baik mereka di sini.

"Tempoh permainan adalah faktor mereka dipinjamkan. Saya bersimpati dengannya kerana dia seorang pemain yang hebat, masa depan kelab ini.

"Apabila dia berpeluang, jaringan akan dihasilkan. Itu perwatakan Nketiah."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen