Ljungberg cenderung pertaruh pemain berpengalaman Arsenal 

Oleh Staff Writer 9 Disember 2019 350
Ljungberg cenderung pertaruh pemain berpengalaman Arsenal 
Pengurus sementara Arsenal, Freddie Ljungberg, berhasrat untuk bergantung harap kepada tonggak berpengalaman ketika mengambil alih tanggungjawab berkenaan sambil menegaskan penamat dalam kelompok teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak sepatutnya dianggap sebagai di luar jangkauan mereka.

The Gunners akan berkunjung ke West Ham awal pagi esok tanpa memenangi sembilan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan selain kecundang 1-2 di laman Brighton & Hove Albion dalam perlawanan terakhir.

Mereka memungut 19 mata daripada 15 perlawanan liga musim ini dan 10 mata di belakang slot Liga Juara-Juara (UCL) tatkala peluang Manchester United dan Tottenham kelihatan lebih cerah berbanding mereka.

Begitupun, Ljungberg, yang menggantikan Unai Emery pada akhir bulan lalu, tidak fikir kelab London tersebut sudah boleh diketepikan sebagai pencabar kelompok empat pasukan teratas. 

"Tidak, saya tidak fikir kami sepatutnya berhenti bercakap mengenai kelompok empat teratas," kata Ljungberg kepada wartawan.

"Tetapi fokus kami ketika ini ialah memberi tumpuan kepada apa yang kami sedang usahakan, bukannya melihat pasukan teratas, ke bawah, ke tepi (daripada segi carta liga). Kami hanya perlu bekerja keras terhadap permainan dan membina keyakinan sendiri."

Salah satu elemen Emery yang mengundang pujian adalah kesediaannya untuk menggunakan pemain muda, namun Ljungberg lebih menitikberatkan bintang yang lebih berpengalaman untuk memainkan peranan penting dalam memperbaiki kedudukan mereka.

Ditanya sama ada dia sedang membina pasukannya di sekitar Mesut Ozil, seorang pemain yang mendapati masa permainan yang sukar ketika di bawah bimbingan Emery, Ljungberg berkata: "Mesut merupakan pemain yang sangat bagus apabila dia mengawal bola.

"Dia boleh mencetuskan perkara menarik tetapi kami mempunyai skuad yang besar, jadi saya tidak mengatakan bahawa saya akan membina skuad (di sekitar) pemain tertentu.

"Saya mahu menurunkan pemain berpengalaman (berdepan Brighton) apabila kami menghadapi keadaan yang sukar seperti ketika ini. 

"Untuk menurunkan semua pemain muda (dan bergantung harap kepada mereka) untuk mengubah masa depan kelab adalah tidak adil. 

"Jadi, saya membuat keputusan untuk menurunkan pemain yang lebih berpengalaman bagi menggalas tanggungjawab dan mengubah rentak permainan."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen