Liverpool mengumumkan keuntungan sebelum cukai sebanyak £42 juta (RM228.5j) untuk tempoh kewangan yang berakhir pada 31 Mei 2019, walaupun rekod pembelian pemain mereka mencatat perbelanjaan tertinggi.

Perolehan kelab meningkat sebanyak £78j (RM424.3j) daripada £533j (RM2.8b) hasil pendapatan daripada media, pendapatan komersial dan perlawanan.

Perjanjian baru penyiaran Liga Juara-Juara (UCL) dan kejayaan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat kedua tahun lalu menyaksikan skuad kendalian Jurgen Klopp itu turut meningkatkan keuntungan.

Kejuaraan UCL pada 2018-19 pula dijangka akan diambil kira dalam tempoh kewangan seterusnya.

Ia satu petanda positif di sebalik perbelanjaan tertinggi kelab itu yang bernilai £223j (RM1.2j) bagi menandatangani Alisson Becker, Naby Keita, Fabinho dan Xherdan Shaqiri selain 11 pemain utama memperbaiki kontrak.

The Reds, yang muncul juara Eropah buat kali keenam Jun lalu, berada di kedudukan ketujuh dalam carta Liga Bola Sepak Deloitte Money, melonjak dua anak tangga berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Ketua Pegawai Operasi Liverpool, Andy Hughes, melalui laman sesawang kelab itu berkata: "Perkembangan ini akan terus memperkukuhkan kelangsungan kewangan asas kelab untuk membolehkan kami membuat pelaburan besar dalam pengambilan dan infrastruktur pemain.

"Kemampuan melabur lebih daripada £220 (RM1.1b) ke atas pemain dalam tempoh kewangan ini adalah hasil strategi perniagaan yang berjaya, khususnya kenaikan pendapatan komersial yang mendadak.

"Bagaimanapun, kos bola sepak terus meningkat dalam soal perpindahan dan bayaran yang berkaitan tetapi apa yang penting bagi kami adalah ketekalan kedudukan kewangan kami.

"Ia membolehkan kami untuk meneruskan usaha dan terus mengukuhkan kelab ini."

Kelab Merseyside itu juga turut menarik minat enam juta lagi pengguna media sosial berbanding mana-mana kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lain pada musim 2018-19 sambil mengatakan pelaburan ke atas pusat latihan yang baru di Kirkby dan perancangan untuk meluaskan Anfield menjadi bukti sokongan oleh pemilik, Kumpulan Sukan Fenway.

"Apa yang kita dapat lihat adalah pertumbuhan berterusan kelab ini, selari dengan prestasi di lapangan," kata Hughes.

"Masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan dan apa yang penting, kami akan meneruskan dialog kami dengan semua pihak yang memiliki kepentingan utama termasuk penduduk tempatan, sektor perniagaan dan kumpulan masyarakat.

"Hasil kewangan dan tempoh pertumbuhan yang mantap ini menjadi bukti bahawa pemilik kami, Kumpulan Sukan Fenway, akan terus menyokong cita-cita kelab dan terus melaburkan pendapatan dalam memperkuatkan skuad dan infrastruktur kelab ini demi membina masa depan."