Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengakui pasukannya tidak akan mengambil sebarang pemain baru menjelang jendela perpindahan Januari melainkan keadaan berubah dalam beberapa minggu ini.

Pengendali The Reds itu mendedahkan dalam sidang media, semalam, pasukannya tidak akan berbelanja besar dalam jendela perpindahan tersebut, namun bergantung kepada tahap kecegasan Joe Gomez dan Joel Matip.

Kedua-dua tonggak pertahanan itu dijangka akan kembali cergas dalam waktu terdekat dan beberapa siri kecederaan pemain tonggak mungkin mengubah tahap keyakinan Klopp.

Klopp turut berkemungkinan memanggil semula Harry Wilson yang dipinjamkan kepada Derby County.

Penyerang Wales itu memaparkan aksi menakjubkan dalam saingan Liga Kejuaraan dengan menjaringkan lapan gol dalam semua kejohanan.

Dia dilihat mampu meneruskan aksi cemerlang itu sepanjang baki musim melainkan Liverpool terpaksa memanggilnya kembali bagi menampung krisis kecederaan pemain.

"Saya gembira dengan apa yang dipamerkan Harry.

"Dia sememangnya luar biasa.

"Dia contoh terbaik untuk pemain meninggalkan pasukan demi mengejar prestasi terbaik.

"Harry meninggalkan kami pada waktu yang sesuai.

"Sejak saya tiba di sini, semua pihak menyatakan dia sepatutnya dipinjamkan kepada pasukan lain.

"Saya berasakan dia terlalu muda, namun dia menjaringkan banyak gol untuk pasukan B-23.

"Dia dipinjamkan kepada Hull City, musim lalu.

"Selepas aksi pra-musim, kami meminjamkannnya kepada Derby.

"Dia beraksi baik di bawah kendalian Frank Lampard.

"England akhirnya mempunyai pemain-pemain muda yang berbakat.

"Ia adalah perkembangan yang baik.

"Situasi kami kini seperti ini; jika anda bertanyakan kepada saya dua minggu lalu, saya akan katakan kami tidak akan membeli sebarang pemain.

"Namun kini, dua tonggak pertahanan kami terpaksa direhatkan.

"Adakah kami akan mengubah keputusan?

"Mungkin tidak kerana mereka dijangka cergas dalam waktu terdekat.

"Ia sama seperti situasi Harry.

"Jika kami berdepan kecederaan pemain sayap, kami berkemungkinan akan memanggilnya kembali.

"Saya tidak perlu menafikannya.

"Derby sedar akan situasi ini sebaik mereka menandatangani kontrak itu.

"Mereka perlu menunggu sehingga kami membuat keputusan.

"Kami tidak mahu mengambilnya, namun jika keadaan memaksa, kami akan melakukannya," katanya.