Kapten Manchester City, Vincent Kompany, percaya Liverpool tidak layak untuk berputih mata terlepas kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada hari terakhir di tangan skuad kendalian Pep Guardiola itu.

Catatan 98 mata yang diraih City menenggelamkan 97 mata milik Liverpool -- kutipan kedua dan ketiga tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris -- selepas mereka bangkit untuk menang 4-1 ke atas Brighton and Hove Albion semalam.

Ia bermaksud City mempertahankan gelaran liga setelah mengharungi 14 kemenangan berturut-turut sehingga akhir saingan sambil tekanan yang diberikan Liverpool kekal sehingga tamat musim.

Kompany mengetuai City menjulang trofi liga bagi musim 2011-12, 2013-14 dan musim lalu, namun dia berasa kali ini merupakan cabaran paling getir dan amat istimewa.

"Ia merupakan kejuaraan liga paling sukar tetapi sangat memuaskan hati," katanya.

"Liverpool sangat berbeza musim ini. Saya tidak mahu menafikannya tetapi mereka tidak berhak tewas dalam perebutan hari ini.

"Ia membuatkan saya lebih gembira -- kami menentang pasukan yang bagus di sepanjang musim dan apabila kami berdepan benteng yang hebat di laman sendiri (bertemu Liverpool pada Januari) kami menang dan ia memberikan perbezaan hari ini.

"Bagi saya, pasukan dan semua peminat, ia sangat indah."

Glenn Murray memberikan Brighton pendahuluan di Stadium Amex selepas Sadio Mane meletakkan Liverpool di landasan kemenangan 2-0 ke atas Wolverhampton Wanderers di Anfield.

Penyokong Brighton menyanyikan lagu menyampaikan situasi tersebut kepada pemain City dan ia jelas didengar oleh Kompany sebelum Sergio Aguero pantas menyamakan kedudukan.

"Saya mendengar peminat Brighton menyanyikan 'Liverpool mendahului 1-0' dan ia ketika kami ketinggalan satu gol," ujar Kompany.

"Namun, kami pernah melakukannya. Kami mencipta peluang, mencari ruang dan mempamerkan corak sebenar.

"Walaupun di atas padang agak perlahan, kami cemerlang. Kami melakukan segalanya untuk menghadapi permainan sebegini."