Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berasakan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu tidak memiliki sebarang peluang untuk menandatangani bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe.

Mbappe, 20, dikaitkan untuk meninggalkan pasukan juara Ligue 1 itu, dengan Liverpool dilaporkan sebagai antara destinasi pilihan penyerang berkenaan yang turut menarik minat Real Madrid.

Tetapi Klopp, yang pasukannya akan menentang Manchester City dalam perlawanan tumpuan Liga Perdana Inggeris awal pagi Isnin ini, menafikan Liverpool akan menandatangani penyerang kebangsaan Perancis itu.

"Membeli pemain yang berkaliber seperti itu amat sukar, saya tidak nampak ada mana-mana kelab yang mampu membeli Kylian Mbappe daripada PSG," katanya kepada media.

"Saya tidak nampak mana-mana kelab dapat melakukannya, itulah situasinya.

"Dan kami merupakan sebahagian daripada kelab yang tidak dapat melakukannya. Ia semudah itu.

"Baiklah, daripada sudut pandang sukan, tiada sebarang alasan untuk kami tidak menandatanganinya. Dia pemain yang hebat.

"Tetapi sudah pasti ia kerana wang.

"Tiada peluang, kami benar-benar tiada peluang.

"Maaf kerana memusnahkan cerita ini," katanya.

Liverpool tidak aktif dalam jendela perpindahan lalu dan enggan menambah muka baru dalam pasukan itu.

Klopp sekali lagi menjelaskan kepentingan untuk mengekalkan anggota pasukannya dengan berkata pemain yang dimahukannya tidak dapat ditampung daripada segi kewangan Liverpool.

"Pemain yang kami fikir dapat menguatkan pasukan ini amat mahal dan kami tidak dapat mengeluarkan perbelanjaannya. Itulah situasinya.

"Untuk melihat seorang pemain meningkat atau dengan potensi untuk menjadi lebih baik atau mengekalkan permainannya amat sukar.

"Itulah keadaan dan situasinya.

"Ia bukan disebabkan kami tidak bersedia tetapi kami tidak mahu melakukan lima atau enam perubahan.

"Tidak akan sama sekali.

"Mereka berada di peringkat umur terbaik dan masih ada ruang untuk meningkat.

"Kami mahu melakukan sesuatu dan kami mampu melakukan banyak perkara.

"Tetapi kami hanya mahu melakukan perkara yang betul.

"Itulah sebabnya kami mengekalkan skuad ini kerana ia amat bagus dan jika anda mahu meningkatkannya, anda memerlukan pemain yang tepat.

"Bukan hanya pemain yang sekadar tangkap muat," katanya lagi.

Liverpool berkelebihan enam mata di puncak liga menjelang pertemuan dengan City di Anfield.