Liverpool tersungkur di Wembley

Oleh Penulis Jemputan 23 Oktober 2017 2274
Liverpool tersungkur di Wembley
TOTTENHAM 4 LIVERPOOL 1

Liverpool terus gagal mencatat kemenangan sejak mengatasi Leicester City 3-2 bulan lalu apabila tewas 1-4 di tangan Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat lawan, malam tadi.


Menentang naib juara musim lalu itu, skuad kendalian Jurgen Klopp turun ke Wembley dengan misi meraih tiga mata selepas sekadar terikat 0-0 ketika menentang Manchester United dalam aksi sebelum ini.

Bagaimanapun, tuan rumah mengejutkan The Kop seawal minit keempat perlawanan apabila penyerang England, Harry Kane, berjaya menggelecek penjaga gol, Simon Mignolet, sebelum melepaskan rembatan kaki kiri untuk membuka tirai jaringan.

Belum sempat Liverpool menyusun permainan, Spurs sekali lagi mencipta gol lapan minit kemudian, kali ini menerusi pemain Korea Selatan, Son Heung-Min, selepas menyempurnakan hantaran lintang Kane dari sebelah kanan dalam satu serangan balas pantas untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Tersentak dengan dua gol awal, Liverpool yang mempertaruhkan Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Philippe Coutinho di barisan serangan, cuba untuk merapatkan kedudukan dan usaha itu berhasil apabila Jordan Henderson bijak melorongkan bola buat Salah sebelum pemain sayap Mesir itu melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan Hugo Lloris pada minit ke-24.

Ketika The Kop terus memburu jaringan penyamaan, Dele Alli berjaya mendapatkan gol ketiga Spurs menerusi rembatan jarak dekat ketika permainan memasuki waktu kecederaan babak pertama dan kedudukan 3-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung separuh masa kedua, Spurs yang dikendalikan Mauricio Pochettino jelas masih belum puas dengan tigal gol apabila Kane hanya memerlukan 11 minit untuk menambah jaringan kedua peribadi. 

Sepakan percuma Christian Eriksen dari sebelah kanan berjaya disambut baik Jan Vertonghen yang melepaskan rembatan tetapi berjaya ditampan di depan gol oleh Firmino, namun Kane berada di posisi tepat untuk tenang menyudahkan bola muntah dan menjadikan kedudukan 4-1.

Walaupun Liverpool lebih mengusai perlawanan, benteng Spurs yang diterajui oleh Davinson Sanchez kekal kebal untuk memastikan kemenangan 4-1 berpihak kepada skuad kendalian Pochettino, meletakkan mereka di tangga ketiga liga dengan 20 mata serta berkongsi mata dengan pasukan tangga kedua, Manchester United, namun dibezakan dengan jaringan.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen