LIVERPOOL 0 MANCHESTER UNITED 0

Pemain pertahanan Liverpool, Joe Gomez dan Joel Matip, berpendapat mereka mendominasi Manchester United dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas perlawanan berkesudahan tanpa jaringan di Anfield, sebentar tadi.


Tuan rumah menguasai perlawanan, namun gagal memecah kebuntuan selepas United lebih senang berkubu di kawasan sendiri apabila hanya satu percubaan yang dihasilkan seteru mereka itu dalam babak pertama.

Biarpun dihampakan, Gomez percaya corak permainan yang ditonjolkan The Reds membuktikan mereka mempunyai kualiti untuk berdepan pasukan handalan seperti United.

"Ia agak mengecewakan kami berdasarkan peluang yang kami cipta," kata tonggak B-21 England berkenaan kepada Sky Sports.

"Kami akan cuba bersikap positif kerana tanpa dibolosi dan meraih satu mata ke atas sebuah pasukan yang bagus. Mereka memiliki beberapa peluang juga, namun secara keseluruhannya kami menguasai permainan.

"Mereka sebuah pasukan mantap dengan kehadiran beberapa pemain hebat tetapi kami juga sebuah pasukan yang bagus dan turun dalam setiap perlawanan dengan kepercayaan kami mampu menang."

Matip menyokong pandangan rakan sepasukannya itu dengan menambah: "Kami mendominasi. Kami menguasai hampir keseluruhan perlawanan dan memiliki satu atau dua peluang. Tetapi, ia tidak mengapa dan kami menerimanya."

Bekas pemain Schalke itu mempunyai peluang terbuka apabila David de Gea mematahkan percubaannya, namun Matip beranggapan dia sepatutnya mencetak gol.

"Ia aksi menyelamat yang hebat daripada De Gea, namun kami mempunyai beberapa lagi peluang terhidang.

"Saya perlu menjaringkan gol dan mungkin kami akan menang. Tindak balasnya sangat menakjubkan.

"Kami harus memandang ke hadapan dan bersikap positif seperti yang dikatakan oleh Joe."