Pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk, percaya pendekatan yang digunakan Manchester City dalam pertemuan yang berakhir tanpa jaringan Ahad lalu menunjukkan rasa hormat mereka buat seteru Liga Perdana Inggeris itu.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu melalui tiga kekalahan di tangan The Reds dalam saingan musim lalu bagi aksi domestik serta Liga Juara-Juara Eropah dan ia membuatkan mereka lebih berhati-hati ketika turun ke Anfield.

Van Dijk, yang memberikan sepakan penalti pada minit ke-86 sebelum disia-siakan oleh Riyad Mahrez, percaya City lebih konservatif dalam mengekang kemungkinan serangan yang mampu dicetuskan Liverpool.

"Jelas sekali mereka lebih berhati-hati berbanding kami dan saya rasa kami telah dihormati," kata Van Dijk.

"Kami menjadikannya sukar buat mereka dan begitu juga sebaliknya."

Walaupun satu mata berdepan City tidak menjamin sebarang kedudukan di akhir musim, Van Dijk percaya kunci utama untuk pencabar kejuaraan adalah mengatasi cabaran pasukan-pasukan lebih kecil.

"Saya rasa ia bukan mengenai aksi sebegini tetapi melibatkan perlawanan lain. Ia adalah perlawanan yang lebih sukar sewaktu menentang pasukan pertengahan dan bawahan," tambahnya.

"Kami mahu sentiasa rapat dalam kedudukan dan melakukan dengan baik tetapi kami sedar ia akan menjadi sukar.

"Kami menikmati permulaan musim yang cemerlang dan mahu meneruskannya."

Van Dijk kini menyertai skuad Belanda menjelang aksi Liga Negara-Negara UEFA berdepan Jerman pada Sabtu ini dan perlawanan persahabatan menentang Belgium, tiga hari kemudian.