Jurgen Klopp berasakan Liverpool telah melakukan yang mencukupi untuk memastikan kemenangan ke atas Sheffield United tetapi menyedari bahawa pertemuan dengan Chelsea pada Khamis ini merupakan perlawanan yang jauh lebih mencabar.

Liverpool menghentikan rekod buruk mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi -- menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-tuturt dengan meraih kemenangan 2-0 di Bramall lane.

Curtis Jones membuka jaringan dengan gol keduanya dalam saingan liga sebelum percubaan Roberto Firmino mengakibatkan Kean Bryan terjaring ke gawang sendiri. Ia merupakan gol ke-7,000 Liverpool dalam liga divisyen utama dan hanya Everton merupakan satu-satunya pasukan yang mampu merekodkan jumlah lebih tinggi.

Oli McBurnie dan Oliver Burke terlepas peluang berharga buat pasukan tuan rumah itu, yang beredepan kekalahan ke-21 dalam saingan EPL musim ini -- The Blades merupakan pasukan pertama selepas Newport County dalam liga divisyen keempat musim 1970-71 yang tewas 21 daripada 26 perlawanan pertama dalam satu musim Liga Inggeris.

Liverpool kini akan mengalihkan tumpuan mereka kepada perlawanan menentang skuad kendalian Thomas Tuchel, Chelsea, di Anfield.

Tuchel merupakan pengganti Klopp di Borussia Dortmund sebelum dia melatih Paris Saint-Germain (PSG) dan kini The Blues, yang terikat 0-0 dengan Manchester United dalam satu lagi perlawanan awal pagi tadi.

Kemenangan dalam perlawanan itu akan menyaksikan Liverpool memintas Chelsea tetapi jika mereka merekodkan kekalahan kelima berturut-turut di laman sendiri, peluang untuk skuad The Reds itu beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim depan turut menjadi semakin tipis.

"Ia amat penting, ramai yang menulis tentang kemerosotan prestasi kami, ia sememangnya tidak mengapa," kata Klopp kepada Sky Sports.

"Malam ini kami telah menunjukkan bahawa kami masih berada di sini tetapi kami perlu meneruskannya dalam perlawanan menentang Chelsea, Khamis ini.

"Tetapi dengan segala masalah yang kami hadapi, kami masih berada di kedudukan yang menarik. Itulah tempat yang kami mahu duduki dan kami akan berusaha untuk mendapatkannya.

"Saya tidak pernah menjangkakan untuk dapat mengawal situasi seperti ini. Kami perlu memenangi perlawanan dan mengawal perkara lain secara sendiri. Ia sentiasa seperti itu. Tanpa keputusan yang baik, mustahil untuk kami ke UCL.

"Ia normal dan baik apabila kami dikritik tetapi jika ia hanya berdasarkan prestasi, ia agak rumit juga. Kami tidak boleh bermain seperti pasukan lain, duduk di bahagian bawah dan memberikan ancaman dengan serangan balas.

"Itu bukan caranya untuk kami kembali ke landasan, kami perlu teruskan aksi dominan dan mengawal situasi dan kekecewaan dalam permainan. Dalam perlawanan lain, kami perlu memberikan reaksi berbeza. Malam ini, kami berada di landasan tepat dan menjaringkan gol pada waktu yang tepat. Ia sentiasa membantu.

"Saya fikir kami boleh menjaringkan tiga gol dalam babak pertama. Ia menunjukkan betapa kami mencipta peluang dengan amat-amat baik. Penyudah kami cukup bagus hari ini tetapi kami sedar kami boleh memperbaikinya," katanya.