Jose Mourinho percaya Liverpool lebih daripada mampu untuk memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu, yang merupakan juara bertahan, tidak pernah menang dalam lima perlawanan liga terakhir mereka dan disingkirkan daripada Piala FA oleh Manchester United hujung minggu lalu.

Mereka akan bertandang ke laman pasukan dalam kelompok empat teratas, Spurs, awal pagi esok selepas hanya memenangi satu daripada lapan perlawanan terakhir di laman lawan dalam EPL.

Mourinho -- yang tewas kesemua tiga perlawanan terakhir menentang Liverpool -- menolak tanggapan bahawa skuad The Reds itu telah kehilangan keupayaan sambil beranggapan ketiadaan Virgil van Dijk kerana kecederaan telah menjadi punca kemerosotan prestasi pasukan berkenaan.

"Saya fikir Liverpool ketika musim mereka tewas selepas mengumpulkan mata yang luar biasa (musim 2018-19 ketika menamatkan EPL di belakang Manchester City dengan 97 mata), mereka telah menjadi satu fenomena.

"Mereka memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), mereka memenangi liga. Ayuhlah, pasukan itu masih sama atau lebih baik. Jurulatihnya masih sama atau sudah lebih baik, kerana tugas sebagai jurulatih memerlukan pengalaman untuk membantu anda. Bagi saya, jurulatih dengan lebih dari setahun lebih baik.

"Mereka memiliki pemain yang baik seperti dulu. Mereka kehilangan pemain penting (Van Dijk). Kita boleh katakan apa sahaja, kita boleh menyembunyikannya tetapi sesetengah pemain amat istimewa.

"Adakala proses bertahan turut melibatkan pemain penyerang dan adakala proses menyerang mempunyai kaitan dengan pemain pertahanan.

"Pasukan yang amat stabil ketika bertahan adalah pasukan yang mempunyai keadaan lebih baik untuk menyerang.

"Mereka kehilangan Van Dijk, jadi mereka memperoleh satu atau dua keputusan yang tidak bagus, tidak dapat menjaringkan banyak gol.

"Ia normal apabila mereka melalui fasa kekurangan keyakinan tetapi bagi saya, mereka masih sama, tiada apa yang berubah," katanya.