Liverpool mampu mencatat rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris sepanjang musim seperti apa yang pernah dilakukan Arsenal, kata pengurus The Gunners, Unai Emery.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu menutup tirai babak pertama saingan liga musim ini dengan kemenangan 4-0 ke atas Newcastle United di Anfield sehingga membolehkan Liverpool selesa dengan kelebihan enam mata di puncak liga.

Liverpool tidak bergelar juara liga selama hampir 30 tahun tetapi memandangkan juara bertahan, Manchester City, tidak konsisten, mereka berpeluang untuk menjulang trofi itu buat kali pertama sejak diperkenalkan pada musim 1989/90.

Anak-anak buah Emery menjadi pasukan seterusnya yang akan cuba menyekat kemaraan The Reds apabila bertandang ke Anfield esok tatkala The Gunners hanya menang satu daripada empat perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.

Pengendali Arsenal itu berpendapat Liverpool memiliki segalanya untuk mengikut jejak langkah pasukan bimbingan Arsene Wenger yang menjuarai liga ketika musim 2003/04 tanpa sebarang kekalahan sambil Emery melihat The Reds sebagai satu contoh pasukan yang boleh diikuti.

"Ketika ini, mereka sedang melakukannya," kata Emery.

"Kami bertemu tiga tahun lalu di pentas akhir Liga Europa ketika saya bersama Sevilla dan kami menewaskan mereka.

"Namun, lihat kepada proses dan ia adalah contoh yang bagus buat kami. Perkembangan mereka sangat jelas. Mereka terkeluar daripada Liga Juara-Juara Eropah dan kini menjadi contoh kepada Arsenal. Kami harus tampil lebih bagus tetapi ia memerlukan masa dan kesabaran."

Arsenal mengikat Liverpool 1-1 dalam pertemuan di Emirates ketika peringkat awal kempen tetapi Emery menjangkakan cabaran lebih getir menanti di Anfield.

"Pertama sekali, mereka sentiasa bersemangat apabila beraksi di depan penyokong sendiri. Persekitaran juga memainkan peranan buat mereka," tambah Emery.

"Bagaimanapun, kami mempunyai pemain yang gemar beraksi dalam perlawanan besar dan kami tahu ia akan sukar tetapi ia adalah satu ujian penting. Saya bermotivasi dan tidak sabar untuk berdepan mereka.

"Selepas menamatkan babak pertama musim ini, kami dalam posisi yang bagus berbekalkan 38 mata. Ia tidak begitu baik tetapi melihat kepada perbandingan dengan pasukan lain, ia menjadi bagus.

"Kami harus meneruskan proses dalam babak kedua, meningkatkan pasukan dan menggunakan kesempatan ini untuk sedikit demi sedikit merapatkan jurang."